• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

 

BESUT, 6 Ogos - Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Kota Putera bakal berwajah baharu mulai tahun hadapan susulan akan berpindah ke tapak bekas Sekolah IMTIAZ BESUT.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, bemula pada bulan ini proses untuk membaik pulih bangunan itu akan dijalankan dengan teratur selepas penubuhan Jawatankuasa  bagi kelancaran gerak kerja.

"Pada 15 Ogos nanti juga akan diadakan gotong-royong secara beramai-ramai di tapak ini, diharapkan kepada sesiapa yang berkelapangan bolehlah terlibat sama. Hasrat ini juga adalah untuk membantu kerajaan untuk mencurah tenaga dan mengurangkan kos baik pulih bangunan yang lama ditinggalkan ini," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Katanya lagi, Bangunan ini dahulunya diduduki oleh IMTIAZ Besut dan Madrasah Moden tetapi telah lama dikosongkan kerana berpindah ke bangunan sekolah yang baharu.

"Tempat yang ada sekarang ini adalah tanah wakaf sejak zaman-berzaman daripada Dato Bentara Luar, insya-Allah akan dihidupkan kembali hasil wakaf ini. Amatlah sayang bangunan sebaik ini tidak dimanfaatkan untuk kegunaan pelajar, katanya ketika ditemubual selepas lawatan kerja ke tapak baharu SRIDI Kota Putera.

Sementara itu, Guru Besar SRIDI Kota Putera, Ustaz Zulhassan Abdullah turut merakamkan jutaan terima kasih hasil usaha dan kecaknaan ADUN Kota Putera dalam bidang pendidikan di Daerah Besut ini.

"Saya percaya dengan wujudnya tempat pembelajaran yang lebih kondusif ini akan memberi impak yang positif kepada bidang pendidikan di sekolah ini. Semoga Allah mengembalikan semula keizzahan anak anak dlm mencari mutiara ilmu Allah d tanah waqaf ini," tambah beliau.