• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

SRIDQ Rhu Rendang Terengganu Buka 2020


Oleh: Aslam Wira

MARANG, 5 Ogos - Sekolah Rendah Islam Darul Quran (SRIDQ) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang selangkah ke arah direalisasikan selepas pendaftaran pelajar bagi sesi 2020 telah dibuka bermula kelmarin.

Mudir SRIDQ, Najmuddin Rani berkata, SRIDQ merupakan salah satu daripada rangkaian sekolah-sekolah agama milik Dewan Ulama PAS Terengganu sebagaimana Madrasah Darul Iman di Kedai Buluh.

“Alhamdulillah, hari ini seramai 20 orang pelajar telah mendaftar di Pejabat Pentadbiran SRIDQ.

"Unit pendaftaran akan terus dibuka sehingga memenuhi kuota pelajar yang diperlukan iaitu sebanyak 60 orang," katanya ketika ditemubual oleh Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI),  sewaktu hadir meninjau urusan pendaftaran oleh ibu bapa di pejabat berkenaan.

Menurutnya, SRIDQ adalah sekolah yang menekankan pendidikan agama dan al-quran tanpa mengabaikan bidang akademik.

Sesuai dengan motto, 'Membina Generasi Bertaqwa', tiga sistem pembelajaran utama telah ditawarkan iaitu Pra-Tahfiz, Akademik dan Dinniyah (subjek agama).

Sekolah tersebut juga bakal menyediakan aktiviti-aktiviti kokurikulum, badan sukan, kelab, riadah dan lain-lain.

Tambah Najmuddin, buat masa ini pendaftaran hanya dibuka kepada pelajar tahun satu sahaja, sebanyak dua atau tiga kelas.

"Namun, bagi tahun seterusnya, perkembangan institusi tersebut akan dibincangkan dari masa ke masa beserta cadangan melaksanakan perkhidmatan pengangkutan pelajar," katanya.

SRIDQ akan beroperasi di bangunan sementara yang terletak bersebelahan Masjid Rhu Muda, sementara menunggu bangunan rasmi siap dibina di Bukit Kor.


Tag: