• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

STPM : Terengganu Terus Cipta Sejarah Kejayaan

Sepuluh pelajar terbaik STPM SMK Sultan Sulaiman yang menerima sijil penghargaan di Majlis Pengumuman Keputusan STPM di SMK Sultan Sulaiman hari ini.
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Terengganu terus melakar sejarah dalam bidang pendidikan apabila keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 yang diumumkan lebih cemerlang mengatasi peringkat nasional.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri, Azman Othman berkata, Gred Purata Nilai Kumulatif (PNGK) Terengganu adalah 3.02 berbanding peringkat nasional 2.77.

Katanya, daripada 2,275  calon yang menduduki peperiksaan itu, 1,932 calon mencatatkan keputusan cemerlang dengan pencapaian lulus penuh dalam semua mata pelajaran.

Azman Othman.
Beliau juga berkata, semua 45 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus dan 42 daripadanya juga berjaya mengatasi Min PNGK Nasional 2.77.

“Alhamduliilah, bagi negeri Terengganu kita telah mencapai PNGK 3.02 yang merupakan peningkatan dari tahun lepas iaitu 2.99 dan angka ini merupakan yang terbaik di peringkat kebangsaan serta rekod baharu bagi negeri.

“Bagi pencapaian semua A iaitu 4.00, kita telah mencapai 72 orang berbanding tahun lepas hanya 47 orang yang merupakan peningkatan hampir 60 peratus dan juga buat kali pertama dalam sejarah, semua sekolah lulus seratus peratus dalam STPM dan ia merupakan sejarah penting bagi Terengganu.

“Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) mencatat PNGK 3.41 diikuti Sekolah Menengah Agama Maarif (SMAM), 3.39 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Mas, 3.29,” ujarnya.

Azman berkata demikian pada sidang media selepas Pengumuman Keputusan STPM 2019 Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Menurutnya, kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil usaha sama JPNT, Pejabat-Pejabat Pelajaran Daerah dan Majlis Guru Tingkatan Enam dengan melakukan pelbagai bedah siasat tentang pencapaian lalu dan juga  melihat kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Kita adakan kolokium-kolokium, kajian-kajian tindakan dan juga kem-kem akademik bagi membantu para pelajar mencapai keputusan yang lebih baik," ujarnya.

Tambahnya lagi, satu sejarah lagi turut tercipta apabila pencapaian sekolah luar bandar juga lebih baik daripada sekolah-sekolah di bandar iaitu mencapai PNGK 3.06 berbanding dengan sekolah di bandar yang mencapai PNGK 2.96.





Tag: