• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Subsidiari Golden Pharos Berhad Tunai Zakat Perniagaan RM200,000

KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd (KPKKT), subsidiari kepada Golden Pharos Berhad (GPB), mengambil langkah tuntutan hukum syarak menerusi pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM200 ribu.

Bayaran tersebut dibuat oleh syarikat senarai awam yang juga syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Terengganu (GLC) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Replika cek tersebut diserahkan oleh ahli lembaga pengarah KPKKT, Mohd Harun Esa, kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM), M. Rozi Bidin dalam satu majlis ringkas di pejabat MAIDAM, baru-baru ini.

Menurut kenyataan Pengarah Eksekutif GPB, Profesor Madya Dr Mohd Zaki Hamzah, pihaknya menganggap tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai unsur penting perniagaannya.

“Justeru, Kumpulan telah mengambil. bahagian dalam pelbagai kegiatan yang dianjurkan oleh masyarakat setempat di persekitaran operasi Kumpulan.

“Pihak kami akan terus komited akan sentiasa memastikan kewajipan zakat perniagaan dilunaskan bagi membantu orang tidak bernasib baik,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berkongsi usaha Kumpulan GPB dalam menyumbang ke arah pemuliharaan alam sekitar melalui pengurusan hutan secara lestari, memberikan peluang yang luas kepada pekerja-pekerjanya serta menghasilkan produk yang mesra alam.

“Kumpulan GPB mengamalkan pengurusan kawasan konsesi balak lestari yang turut diiktiraf oleh badan antarabangsa, Forest Stewardship Council (FSC) dengan dua kawasan konsesi yang diuruskan oleh KPKKT mendapat pensijilan FSC.

“Kawasan konsesi subsidiari ini adalah hutan terbesar di Semenanjung Malaysia yang menerima pensijilan FSC dan hanya hutan asli kedua di Malaysia yang menerima penghormatan,” katanya lagi.

Untuk pengetahuan, Golden Pharos Berhad adalah syarikat senarai awam di Papan Utama Bursa Malaysia yang juga GLC Kerajaan Negeri Terengganu dengan pegangan majoriti melalui Terengganu Incorporated Sdn Bhd, syarikat pelaburan milik Kerajaan Negeri Terengganu dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).