• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Suhakam Tidak Perlu Pertikai Undang-Undang Syariah Terengganu


Oleh: Abdul Hadi Rani

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tidak seharusnya mempertikai keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu yang menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,300 dan enam sebatan syariah kepada pasangan lesbian yang ditangkap di Terengganu pada 8 April lalu.

Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, Negeri Terengganu mempunyai undang-undang yang telah termaktub di dalam perlembagaan negeri.

"Suhakam sepatutnya lebih mengerti tentang prosedur mahkamah.Badan tersebut dilihat cuba mempersoalkan dan mengecam hukuman yang telah ditetapkan oleh mahkamah terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pasangan ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang disiarkan di media Parlimen Dungun, hari ini (20 Ogos).

Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun menasihatkan supaya Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana hak asasi orang Islam juga perlu dihormati dalam negara berbilang kaum ini.  

Menurutnya, tindakan yang diambil terhadap pesalah tersebut tidak melanggar hak asasi manusia apatah lagi memalukan pasangan terbabit.

Pasangan tersebut telah mengaku salah semasa perbicaraan dan hukuman tersebut dijatuhkan sebagai pengajaran kepada mereka dan masyarakat di luar sana.

"Hak asasi orang Islam perlu dilihat dan dinilai oleh Suhakam sebelum mengkritik tindakan yang diambil oleh Mahkamah Syariah.

“Ini semua, dalam pengamatan saya, adalah cubaan untuk menjatuhkan dan memburuk-burukkan undang-undang syariah di negara ini dengan tuduhan dan permainan persepsi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," tegasnya.

Masyarakat yang terlalu terdedah kepada budaya hedonisme tanpa kawalan akan mendorong mereka untuk mengikut hawa nafsu.

“Apabila kurangnya pembudayaan agama dalam kehidupan, manusia akan tersasar dari landasan agama dan jatuh ke lembah nafsu.Saya berharap mereka akan bertaubat,” ujarnya.

Tag: