• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sukan Gemaputra Kembali Ke Terengganu Selepas 26 Tahun

KUALA TERENGGANU, 21 November - Kejohanan Sukan Gabungan Agensi-agensi Amanah Bumiputera & Perusahaan- Perusahaan Awam Malaysia (Gemaputra) kembali ke bumi Terengganu tahun ini, setelah sejak kali terakhir diadakan di negeri ini 26 tahun yang lalu.

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), diberi mandat selaku penganjur dan tuan rumah bagi kejohanan antara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) itu bagi kali kedua selepas menganjurkannya pada tahun 1996.

Menurut YDP Gemaputra Malaysia merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman, ia menjadi satu kebanggaan diberi mandat sebagai tuan rumah kali ini.

Wan Adnan (tengah) menunjukkan piala Kejohanan Gemaputra 2022.

"Sebagaimana yang dirancang, esok akan berlangsung Kejohanan Gemaputra yang mempertandingkan lapan acara iaitu golf, badminton, ping-pong, bola jaring, futsal, tenpin boling, dart dan karom.

"Pada kali pertama, kita menjadi tuan rumah pada 1996 dan kita menjadi juara pada masa itu. Namun, kali ini pengalamannya mungkin berbeza.

"Kita menjangkakan saingan agak sengit, tetapi kita telah bersedia dan kami mensasarkan untuk menjadi juara sekali lagi," katanya.

Tambahnya, Sukan Gemaputra kali ini melibatkan penyertaan sekitar 1,200 atlet dari 14 kontinjen iaitu PKNS (Selangor), PKNNS (Negeri Sembilan), PKNP (Pahang), PKNM (Melaka) PDC (Pulau Pinang) dan PKINK (Kelantan).

Selain itu, pasukan lainnya ialah SEDCO (Sabah), SEDC (Sarawak), PKNPK (Perak), UDA (Kuala Lumpur), JCORP (Johor), PKNK (Kedah) dan PKENPs (Perlis).

Kejohanan berkenaan akan berlangsung di beberapa venue utama iaitu Stadium Tertutup Gong Badak, KT Golf Resort, Stadium Negeri, PB Central dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Barisan penaja Kejohanan Sukan Gemaputra 2022.

 


Tag: