• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sukarelawan 'Hero' Dalam Mengangkat Mesej Perpaduan - Ir Saiful

KUALA TERENGGANU, 5 Januari-Rakyat di negara ini yang menyertai sukarelawan dalam menjayakan misi kemanusian serta menghulurkan pelbagai bantuan ketika bencana banjir yang berlaku  boleh dianggap sebagai 'hero' dalam mengangkat mesej perpaduan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata kesemua mereka telah bersatu hati dalam menyampaikan sumbangan dan bantuan serta mengenepikan segala perbezaan tanpa mengira bangsa, budaya serta fahaman politik untuk sama-sama menyertai aktiviti kemanusian dalam meringankan beban dialami mereka yang terkesan.

"Ini merupakan suatu perkara yang sangat positif ,  mereka semua bolehlah dianggap sebagai wira.

"Walaupun tidak dibayar dan diberikan upah mahupun ganjaran namun kesemua mereka gigih membantu membersihkan rumah-rumah, masjid dan sebagainya," ujarnya kepada pemberita, di sini, baru-baru ini.

Katanya, seruan kerajaan melalui Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang telah menjadi platform yang baik untuk rakyat di negeri ini tampil membantu sedaya upaya bukan hanya mengikuti info serta perkembangan semata-mata bahkan telah turut turun padang.

"Kita mengharapkan agar selepas ini akan lebih ramai lagi terutamanya belia dan beliawanis dari negeri ini yang akan tampil bagi menyertai kegiatan kemanusiaan ini.

"Saya yakin serta percaya dengan jumlah yang lebih ramai kita akan bersedia untuk menjayakan misi bantuan ke mana-mana sahaja bukan hanya bertumpu dalam negeri semata-mata.

Tambahnya, secara tidak langsung misi tersebut berjaya merealisasikan bahawa gagasan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan malaysia bukan hanya retorik semata-mata.