lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026: Fahrin Bangkit Tebus Kekecewaan Dengan Emas 5000m
SUKMA 2026: Fahrin Bangkit Tebus Kekecewaan Dengan Emas 5000m
Ahmad Zaeem Zainudin
3 jam yang lepas
41

SHAH ALAM, 20 Ogos - Muhammad Fahrin Aiman Yusmizan bangkit daripada kekecewaan acara dengan merampas emas acara 5000 meter (m) lelaki pada hari kelima SUKMA Selangor 2026, semalam.

Fahrin yang mencatat masa 15 minit 35.770 saat berkata kejayaan itu didorong keazamannya untuk bangkit selepas tidak memperoleh pingat dalam acara 1500m.

"Saya agak sedih tapi saya niat dalam hati untuk balas dendam menang acara 5000m dan saya berjaya dapatkan," katanya.

Menurutnya, kekecewaan itu tidak berpanjangan kerana dia mengetahui kemampuan dirinya sebagai pelari jarak jauh.

"Saya pelari jarak jauh, memang game laju saya tahu keupayaan saya," jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan Fahrin menutup karier SUKMA dengan koleksi dua pingat emas, selepas sebelum ini memenangi acara 3000m lari berhalangan lelaki.

"Saya sangat bersyukur dan gembira kerana dapat bagi dua pingat emas kepada team olahraga dan capai sasaran team olahraga.

"Perancangan saya selepas ini saya nak fokus untuk SEA Games 2027 di Malaysia dan saya kena usaha lebih kuat untuk qualified SEA Games," katanya.

Dalam acara 5000m itu, Fahrin meninggalkan Jayvind A/L Thanabalan (N. Sembilan) yang meraih perak dengan 15:41.230, manakala Devindra A/L Muniandy (Kedah) gangsa dengan catatan 15:44.150.

Sementara itu, Terengganu turut meraih satu lagi emas menerusi Noor Aliya Alias dalam acara rejam lembing wanita dengan catatan jarak 38.04 meter pada percubaan kelima.

Terengganu turut menambah dua lagi pingat menerusi acara 400m lari berpagar.

Nur Farisha Ardeana Ardy Abdullah meraih perak dalam kategori wanita dengan catatan 1:02.440.

Manakala, Shazril Ashraff Shamsurbahry menyumbang gangsa bagi kategori lelaki selepas mencatat 52.800 saat.

Secara keseluruhan, Terengganu meraih dua emas, satu perak dan satu gangsa menerusi empat acara, semalam.


Artikel Berkaitan