lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026: Nur Alissa, Shah Jehan Tambah Koleksi Emas Angkat Berat Terengganu
SUKMA 2026: Nur Alissa, Shah Jehan Tambah Koleksi Emas Angkat Berat Terengganu
Ahmad Zaeem Zainudin
7 jam yang lepas
58

KAJANG, 20 Ogos - Dua atlet angkat berat Terengganu, Nur Alissa Sofea dan Muhammad Shah Jehan Syamsul Bahri mengutip dua pingat emas buat kontinjen negeri pada hari kelima Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Nur Alissa mencipta kejayaan dalam acara 86 kilogram (kg) wanita apabila mengumpul keseluruhan 183kg menerusi angkatan 78kg dalam snatch dan 105kg dalam clean and jerk.

Kejayaan itu kemudian dilengkapkan Muhammad Shah Jehan yang muncul juara kategori 94kg lelaki selepas mencatat jumlah angkatan 270kg.

Atlet kelahiran 2005 itu mengungguli kedua-dua disiplin apabila melakukan angkatan 120kg dalam snatch sebelum mengangkat 150kg dalam clean and jerk untuk mengesahkan emas buat Terengganu.

Pingat perak acara 86kg wanita menjadi milik atlet Sarawak, Brickleen Jessie Hiew dengan jumlah 160kg, manakala Nur Izzati Insyirah meraih gangsa selepas mengumpul 157kg.

Dalam kategori 94kg lelaki pula, atlet Perlis, Muadzam Muzammil meraih perak dengan jumlah 247kg, manakala wakil Pulau Pinang turut mencatat 247kg untuk gangsa selepas berjaya merebut kedudukan itu pada saat akhir.

Terdahulu, Ahmad Ridzuan Shah Roslan turut menghadiahkan pingat emas dalam acara 88kg lelaki dengan jumlah angkatan keseluruhan 280kg, menerusi catatan 130kg dalam snatch dan 150kg dalam clean and jerk.

Menurut mereka, kehadiran ahli keluarga dan ketua jurulatih, Muhammad Amirul Hisham di sisi mereka pada SUKMA kali ini membantu memberi 'tolakan' kepada ketiga-tiga atlet itu untuk menamatkan saingan dengan podium teratas.

Kejayaan berganda itu menyaksikan skuad angkat berat Terengganu menutup saingan hari kelima temasya dengan tiga emas dan dominasi yang ketara dalam kategori masing-masing.


Artikel Berkaitan