• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Sultan Mizan Berkenan Rasmi Masjid Balai Besar, Dungun

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Masjid Balai Besar, Dungun, hari ini.

Turut berangkat, Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Mengiringi baginda, Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib, Pegawai Daerah Dungun, Dato' Mohd Yasim Awang, wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan.

Sebelum menunaikan solat Jumaat, Sultan Mizan turut berkenan bertitah serta menandatangani plak perasmian masjid tersebut.

Sultan Mizan dalam titah ucapan menyeru semua rakyat agar sama-sama memberi komitmen dalam menghidupkan institusi masjid.

"Jadikanlah urusan masjid sebagai tanggungjawab kita bersama seterusnya memastikan iltizam ini berterusan hingga ke generasi yang akan datang," titah baginda.

Masjid Balai Besar yang siap sepenuhnya pada Jun 2013 dapat menampung kapasiti sehingga 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

Pada tahun 1992, usaha dibuat oleh Jawatankuasa Surau Balai Besar untuk menaiktarafkan surau ini kepada masjid bagi membolehkan solat Jumaat.

Pada Mac 2005, kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan Masjid Balai Besar, di atas tapak baharu yang berkeluasan 1.6 hektar dengan anggaran kos pembinaannya kira-kira RM 5.4 juta.

Tag: