• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

Sultan Mizan Berkenan Rasmi Tanam Pokok di Pantai Batu Buruk

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli merasmikan Majlis Perasmian Penanaman Pokok Sepanjang Pantai Batu Buruk ke Pantai Pandak di Dataran Pantai Batu Buruk, di sini hari ini.

Program tersebut merupakan kerjasama antara Majlis Bandaraya  Kuala Terengganu dan Yayasan DiRaja Sultan Mizan 

Keberangkatan Baginda diiringi Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail dan disambut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Penasihat undang-undang negeri, Dato’ Razali Che Ani; Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Sementara itu, Dr Azman berkata kerajaan negeri amat menyambut baik usaha-usaha dilaksanakan dalam menyokong agenda nasional melalui “Kempen Penanaman 100 Juta Pokok” menjelang tahun 2025.

"Kawasan penanaman pokok telah dipecahkan kepada tujuh zon dan jumlah penanaman pokok adalah sejumlah 3,000 pokok dengan anggaran jarak sepanjang 11.3 KM.

" Antara spesis pokok teduhan yang dipilih adalah Pokok Ketapang, Pokok Rhu Pantai, Kelapa Pantai dan Ambang-Ambang," ujarnya.

Tambah beliau, pemilihan pokok dari spesis ini dibuat berdasarkan peranannya sebagai lindungan semulajadi dan zon penampang bagi mengurangkan kemusnahan akibat kejadian alam.

Jelasnya, ia berfungsi sebagai benteng untuk mengurangkan kesan pukulan ombak daripada laut di samping pokok-pokok ini dapat tumbuh dengan baik di kawasan pantai berpasir.