• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sultan Mizan Mahu Terengganu Terus Tarik Pelabur

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru kerajaan negeri untuk terus meningkatkan aliran pelaburan ke Terengganu sekali gus memastikan negeri ini kekal sebagai destinasi utama pelabur.

Baginda bertitah, justeru itu pihak kerajaan perlu menggandakan usaha-usaha  untuk menarik dan mempergiatkan aktiviti penggalakan pelaburan bagi memastikan kedudukan Terengganu kekal kompetitif termasuk memudahcara urusan pelabur melalui pengenalan inisiatif dan fasiliti pelaburan yang berkesan.

“Menaik taraf infrastruktur di kawasan perindustrian adalah penting untuk penyelenggaraan kemudahan-kemudahan sedia ada bagi menarik pelabur dan meningkatkan daya saing negeri. 

“Beta yakin bahawa peningkatan ekonomi bagi sesebuah negeri dapat direalisasikan melalui kemasukan pelabur-pelabur asing dengan mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan tenaga kerja yang mahir dan memupuk pertumbuhan syarikat-syarikat tempatan,”titah Baginda.

Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan undangan Negeri Kelima Belas bertempat di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Mizan dalam titahnya juga mahu supaya kerajaan memberi fokus kepada kluster-kluster yang telah dikenal pasti antaranya Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS), Downstream Manufacturing of Minerals dan Specialty Chemical and Petrochemical agar seiring dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Penekanan ini bertujuan untuk mencipta sumber kekayaan baharu negara dengan meningkatkan kompleksiti ekonomi, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti sekali gus meningkatkan taraf kehidupan rakyat yang lebih sejahtera,” titah Baginda.