• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Sultan Mizan Rasmi Jambatan Angkat Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Jambatan Angkat Kuala Terengganu semalam. 

Perasmian jambatan ikonik itu bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Keputeraan baginda.

Mengiringi baginda pada upacara itu, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.

Sultan Mizan kemudiannya berkenan bertitah dengan mengisytiharkan dan merasmikan jambatan itu dikenali sebagai Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

Terdahulu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut telah bermula pada bulan Ogos 2014 dan berjaya disiapkan pada Ogos 2019. 

Menurutnya, projek yang menelan belanja sebanyak RM249 juta itu terdiri daripada struktur jambatan sepanjang 838 meter, empat struktur menara serta dua skybridge yang merupakan jambatan pertama di Asia Tenggara dengan reka bentuk tersebut. 

Katanya, kerajaan negeri merakamkan penghargaan atas sumbangan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam merancang dan melaksanakan projek tersebut.

“Kerajaan negeri percaya pelaksanaan projek ini telah memberikan impak yang besar kepada pembangunan negeri serta menjadi produk baharu sektor pelancongan yang menjadi tarikan pelancong untuk datang ke Negeri Terengganu,” katanya.

Tambar Dr Samsuri, sehingga Julai 2022, seramai 379,900 pengunjung telah direkodkan hadir ke jambatan ikonik berkenaan.

 


Tag: