Jalur Gemilang
Berita :
Sura Cadang Geran Khas RM10 Juta Perkasa TVET
Sura Cadang Geran Khas RM10 Juta Perkasa TVET
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
87

KUALA TERENGGANU, 17 November - Kerajaan negeri dicadangkan supaya menyediakan geran khas antara RM5 juta hingga RM10 juta bagi memperkasa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, peruntukan itu boleh digunakan untuk menaik taraf institusi berkaitan agar selari dengan perubahan teknologi dan keperluan industri semasa.

Menurutnya, institusi TVET perlu lebih berdaya saing dalam menawarkan kursus baharu bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu memenuhi keperluan pembangunan industri dalam negeri.

" Cuma persoalannya, bagaimana institusi TVET kita ini mampu berdaya saing membuka ruang pelajaran, kursus yang boleh menawarkan kursus yang baru untuk tenaga kerja yang ada dalam negeri Terengganu ini?

"Sebab itu saya ingin mencadangkan dan membuat rayuan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kepada Kerajaan Negeri, mungkin boleh diberikan satu geran khas.

"Mungkin sebanyak RM5 juta, RM10 juta kepada TATI, kepada TESDEC, khusus bagi menaik taraf kandungan kursus, kelengkapan latihan, serta pembangunan tenaga pengajar," katanya.

Ulasnya lagi, pelaburan dalam bidang berkenaan penting bagi memastikan anak tempatan mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk mengambil bahagian secara langsung dalam pembangunan industri di Terengganu.

"Sebab bagi saya, ini adalah pelaburan strategik untuk memastikan anak Terengganu bukan sekadar menjadi penonton kepada pembangunan industri di negeri sendiri, tapi menjadi tenaga mahir yang menggerakkan pembangunan tersebut," katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan