• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Surau Berusia Lebih 100 Tahun Jadi Tarikan di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 4 Disember – Surau Tuan Guru Haji Wan Abdul Latif yang berusia lebih 100 tahun telah menjadi tarikan dan ikonik baharu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata sudah ramai rakyat Terengganu khususnya di Kuala Terengganu ini yang tahu akan surau tersebut yang tular kebelakangan ini. 

“Surau tersebut telah dibaik pulih dengan masih mengekalkan bentuk asal serta konsep melayu tradisional yang telah memakan kos sebanyak RM1.3 juta. 

“Surau yang sebelum ini yang telah kelihatan uzur telah dibuat penambah baikan dengan mengambil masa selama setahun setengah untuk disiapkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Tambah Wan Sukairi, semalam beliau berpeluang ke surau tersebut dan menyampaikan sedikit bicara sebagai peringatan semua jemaah. 

“Memang comel sungguh surau ini serta terasa sangat nyaman dan tenang.

“Yang mana berhajat nak mari, jemput datang ke Kampung Losong Haji Long ini,” ujarnya.

Untuk rekod, Surau Haji Wan Abdul Latif dinamakan sempena nama pengasasnya, Tuan Guru Haji Wan Abdul Latif Haji Wan Endut iaitu seorang ilmuan dan tokoh agama terkenal suatu ketika dahulu.

 


Tag: