• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Suri Rumah Perlu Didik Diri Belanja Berhemah


DUNGUN, 25 Ogos - Para suri rumah disaran agar mendidik diri berbelanja dengan berhemah dalam mengharungi suasana ekonomi negara yang kian mencabar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, para ibu tidak seharusnya terpedaya dengan tawaran-tawaran hebat atau jualan murah di saat ekonomi terjejas akibat COVID-19.

Alias Harun sedang bertanya sesuatu kepada salah seorang penerima

"Kalau ada tawaran-tawaran hebat, iklan periuk atau apa sahaja, kita rasa berkenan hendak beli, tetapi kita dah ada periuk atau apa sahaja, jadi kita ajar diri untuk tidak melayan kehendak kita," ujarnya.

Beliau bercakap demikian ketika berucap di Majlis Caruman I-Suri di Dewan Al-Husna Darul Ansor di Kampung Alor Mak Bah, dekat sini hari ini.

Tahun ini katanya, seramai 600 orang suri rumah di DUN Rantau Abang telah terpilih sebagai penerima caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat (KPKWM) sejak 2018.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada mereka yang terpilih dan menzahirkan rasa terimakasih kepada KPKWM yang telah mengadakan program tersebut.

"I-Suri ini adalah satu cara kerajaan menyantuni golongan suri rumah yang ada di negara kita," ujarnya lagi. 


Tag: