• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Suri Rumah Perlu Mencarum i-Suri - Isteri MB Terengganu

To' Puan Seri Tuan Faizah Abd Rahman (dua dari kiri) menenangkan ibu Muhammad Aiman Hassan (kiri).
Oleh: Aslam Wira

MARANG, 3 Ogos - Rakyat Terengganu terutama suri rumah perlu mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Suri sebagai langkah menjana pendapatan sampingan.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman berkata, i-Suri adalah insentif caruman yang disediakan untuk membantu suri rumah.

"Kita sedia maklum suri rumah tiada pengiktirafan dari sudut pekerjaan. Jadi suri rumah perlu mengambil peluang ini selagi melepasi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Antaranya hendaklah berumur tidak melebihi 60 tahun dan merupakan warganegara Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pendaftaran i-Suri bagi jelajah siri kedua di Balairaya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Seberang Marang.


Katanya, suri rumah perlu berdaftar sebagai peserta e-kasih dan melakukan pembayaran sebanyak RM5 sebulan atau RM60 setahun secara sekali gus.

Turut hadir, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) daripada Jabatan Perdana Menteri, Petugas KWSP, kakitangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan petugas Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera DUN Rhu Rendang.

Program yang bermula pada 8.30 pagi disertai seramai 114 orang suri rumah yang berdaftar di kampung tersebut daripada 937 orang di seluruh DUN Rhu Rendang.


Dalam pada itu, beliau sempat menziarahi kematian di Kampung Kelulut.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga adik Muhammad Aiman Hassan yang meninggal sewaktu tidur di Subang Jaya dan semoga mereka tabah menerima pemergian Aiman," katanya.

Menurutnya, ajal maut tidak mengenal usia kerana walaupun dalam usia yang sangat muda dan sihat, ia telah ditetapkan oleh Allah SWT. Hanya amal soleh yang akan menjadi bekalan di sana.

Ziarah tersebut turut diiringi oleh petugas i-MiTS DUN Rhu Rendang di rumah keluarganya sebaik sahaja majlis pengebumian di samping sedikit sumbangan.

Tag: