• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Syukur, Akhirnya Terima Bekalan Elektrik

MARANG, 18 Mac - Penderitaan sebuah keluarga yang tinggal di rumah tidak berelektrik selama lebih 15 tahun berakhir setelah mendapat bekalan asas itu baru-baru ini.

Zakaria Mamat, 48, berkata, dia dan keluarga sangat gembira dan bersyukur kerana akhirnya mereka dapat hidup seperti orang lain.

Katanya, sebelum ini mereka hanya menyambung tenaga elektrik dari rumah bersebelahan akibat tidak mampu menanggung kos pendawaian dan deposit elektrik.

"Biasanya kami hanya menggunakan sebiji lampu mudah alih bagi menerangi rumah pada waktu malam, ke dapur dan kemana-mana hanya bergantung pada lampu tersebut.

"Bilik anak-anak juga bergelap dan saya juga tidak berani menambah serta menyambung lebih banyak peralatan elektrik kerana bimbang berlaku masalah," jelasnya.

Beliau berkata ketika menerima kunjungan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, ke rumahnya setelah selesai pemasangan tersebut.

Sebelum ini, keluarganya turut dikunjungi oleh PKM, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Bukit Kecil.

Sementara itu, Pegawai Khas PKM Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah berusaha membawa permasalahan keluarga Zakaria kepada agensi terbabit iaitu MAIDAM, bagi mendapatkan bantuan dana pendawaian tersebut.

"Saudara Zakaria juga mempunyai masalah kewangan, di mana dia yang berkerja sebagai pemandu bas persiaran sebelum ini tidak dapat berjalan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekaligus menyebabkannya hilang mata pencarian.

"Usahanya sebelum ini memohon bantuan daripada beberapa pihak tidak mendapat perhatian, jadi kita merasa bersyukur kerana dapat membantu keluarganya untuk tinggal di rumah yang lebih selesa dengan mempunyai bekalan elektrik.

"Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih, kepada mereka yang terlibat dalam membantu menyelesaikan masalah keluarga ini terutamanya MAIDAM, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Marang dan JPKK Kampung Baru Bukit Kecil."

PKM juga telah memaklumkan kepada pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sebagai cadangan penama e-kaseh, bagi membantu penduduk kurang berkemampuan, tambahnya.


Tag: