• 24 Okt 2020 | 7 Rabiul Awal 1442

Ta Win-PMINT Bangun Kawasan Industri Logam Bukan Ferus Pertama Di Asia Tenggara - MB Terengganu

KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Ta Win Holdings Berhad (Ta Win) hari ini mengadakan usaha sama perjanjian dengan kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bagi membangunkan kawasan perindustrian logam bukan ferus pertama di Asia Tenggara (Terengganu Ecocyle).

Majlis memeterai perjanjian antara pengilang terkemuka produk tembaga Malaysia dan PMINT itu disaksikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Ta Win diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulannya, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung manakala PMINT diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Wan Adnan Wan Derahman.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar menyifatkan pemeteraian tersebut merupakan suatu pencapaian yang besar buat kerajaan negeri.

"Kita sangat berbesar hati Ta Win memilih negeri Terengganu bagi projek seumpama ini. Ianya adalah suatu pencapaian yang besar bagi kerajaan negeri terutama dalam keadaan COVID-19 yang belum reda.

"Kerajaan negeri berterima kasih dan sangat mengalu-alukan minat dan kerjasama pelabur-pelabur luar. Dijangkakan sebanyak 7,000 peluang pekerjaan akan dibuka kepada rakyat dalam tempoh sembilan tahun melalui usaha sama Ta Win dan PMINT ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) PMINT Bersama Ta Win di Primula Beach Hotel di sini hari ini.

Hadir sama menyaksikan MoU tersebut, Pengarah Eksekutif Ta Win, Tan Poo Chuan dan Pengarah Bersekutu Ta Win, Dato' Dr Rashdan Salleh.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win Holdings Berhad, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung berkata, Terengganu Ecocycle akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan kira-kira 500 hektar.

"Seluas kira-kira 500 ekar tanah yang terletak di Kawasan Lembah Perasing, Mukim Hulu Jabor, Kemaman, Terengganu Darul Iman akan dibangunkan bagi projek ini. Terengganu Ecocycle akan dikembangkan dalam empat fasa dalam tempoh sembilan tahun, dengan jumlah kos pembangunan yang dianggarkan berjumlah RM2.4 bilion.

"Ia akan merangkumi zon teknologi teras, zon teknologi sub-teras dan sokongan zon teknologi, di mana masing-masing berukuran kira-kira 85 ekar, 250 ekar dan 165 ekar.

"Kami dengan senang hati memulai usaha sama ini dengan Kerajaan Negeri Terengganu. Dengan Terengganu Ecocycle akan menjadi yang pertama seumpamanya di Rantau Asia Tenggara, kita akan dapat mendorong perkembangan industri logam bukan ferus," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Terengganu Ecocycle diilhamkan oleh Projek Eco-Town Kitakyushu Jepun, yang berjaya menggabungkan pemuliharaan alam sekitar, promosi industri dan dasar kesejahteraan masyarakat tempatan, ke arah tujuan negara mewujudkan masyarakat berasaskan kitar semula sumber yang mampan.