KUALA TERENGGANU, 23 April – Perbelanjaan bagi kerja pembersihan awam dan pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal di Terengganu mencecah RM129.2 juta setahun, namun angka itu boleh dikurangkan sekiranya rakyat mempunyai kesedaran kolektif terhadap pengurusan sisa.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata antara amalan yang boleh membantu mengurangkan beban kos itu ialah kitar semula, pengumpulan minyak masak terpakai, pengumpulan sisa elektronik (e-waste) dan pengasingan sisa dari punca.
Katanya, langkah berkenaan mungkin dilihat kecil, namun memberi impak besar dalam mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan.
“Perkara-perkara ini mungkin nampak kecil namun impaknya besar dengan dapat mengurangkan bebanan pelupusan sampah pepejal ke tapak pelupusan sisa.
“Insya-Allah langkah-langkah yang dibuat ini adalah bagi memastikan Terengganu sentiasa menjadi negeri yang bersih, ceria dan indah demi keselesaan penduduk dan pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan KDYMM Pemangku Raja Terengganu sempena Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini.
Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri melalui semua pihak berkuasa tempatan (PBT) terus melaksanakan penambahbaikan berterusan bagi memastikan tahap kebersihan negeri sentiasa terpelihara.
Menurutnya, kontrak kutipan sisa pepejal bagi tempoh enam tahun bermula 2026 hingga 2031 telah diperbaharui pada tahun ini.
Katanya, kontrak baharu itu merangkumi beberapa penambahbaikan berbanding kontrak terdahulu, antaranya mengambil kira pelaburan aset mampan, penggunaan lori kompaktor baharu, penyelarasan pengurusan zon serta penambahbaikan inventori tong sampah.
Selain itu, jelasnya, jadual kutipan sisa turut disusun semula dengan lebih optimum bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
Tag :