• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

TADC Fresh Mart Pasarkan Hasil Tani Dengan Harga Berpatutan

 

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos -  TADC Fresh Mart milik anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) bakal merancakkan sektor ekonomi  setelah mula beroperasi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata TADC Fresh Mart kini mula memasarkan hasil pertanian keluaran petani, penternak dan nelayan negeri ini dengan harga yang lebih berpatutan.

“Ini merupakan antara tiga manfaat penubuhan TADC Fresh Mart kerana ia menyediakan kemudahan untuk warga petani, penternak dan nelayan serta industri asas tani  untuk  pasarkan hasil mereka tanpa melalui rantaian orang tengah.

‘’Orang ramai disekitar Menara Permint dan Kompleks Paya Bunga pula boleh mendapatkan bekalan bahan mentah secara mudah, segar dan harga yang lebih rendah sedikit dari pasaran di samping menyediakan peluang pekerjaan,” ujarnya . 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan TADC Fresh Mart di bangunan PB Square di sini hari ini.

Tambah Dr Azman, TADC Fresh Mart bakal dikembangkan ke daerah-daerah secara tersusun bagi memperluaskan lagi peluang perniagaan untuk menerajui ruang pasaran hasil-hasil pertanian negeri.