• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TADC, MCT Meterai Perjanjian Bangunkan Rimbunan Kasih

Kuala Terengganu, 29 November - Jabatan Pertanian Terengganu, Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC)  dan MCT Agriculture Sdn BHd (MCTA)  menandatangani perjanjian bagi Projek Rimbunan Kasih Rantau Abang, Dungun di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato' Tun Faisal Tun Abdul Razak dan Pegawai Daerah Dungun Jusman Ibrahim menyaksikan perjanjian tersebut.

Dr Azman berkata, Projek Rimbunan Kasih Rantau Abang merupakan projek pertanian di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan kepada Iris Corp Sdn Bhd (Iris) di atas tanah seluas 22.8 hektar dengan kemudahan 100 unit kediaman, 26 unit sistem perlindungan hujan dan 400 unit tangki perikanan.

Menurutnya projek tersebut bermula pada tahun 2015 dan telah ditamatkan pengoperasiannya pada tahun 2018.

Bagaimana pun jelasnya kerajaan negeri bertungkus lumus memulihkan semula projek tersebut pada tahun 2020.

"Satu Jawatankuasa Khas telah diwujudkan pada tahun 2020 dan melalui jawatankuasa tersebut, TADC telah dilantik sebagai operator untuk mengoperasikan projek pertanian di kawasan tersebut," ujarnya.

TADC katanya berkolaborasi dengan syarikat MCTA dalam pembangunan sektor pertanian dan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu sebagai rujukan bagi khidmat teknikal.

"Bagi Fasa pertama (Fasa 1), projek tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) secara fertigasi dibangunkan.

"Sebanykan RM3 juta telah dibelanjakan untuk membaikpulih semula semua fasaliti di tapak," jelasnya lagi.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata pengeluaran MMT yang berjaya dihasilkan adalah sebanyak 15 matrik tan sebulan.

"Projek itu menjana seramai 25 orang pekerja pelbagai peringkat dan majoriti daripada mereka merupakan penduduk tempatan dari daerah Dungun dengan pendapatan sebanyak RM2,400 sebulan," ujarnya.

Projek itu akan dikembangkan perluasannya ke Fasa kedua (Fasa 2) dengan membangunkan sistem loT serta pembinaan 54 unit sistem perlindungan hujan  (SPH) yang baru di atas tanah berkeluasan 30 ekar. 

"Anggaran pelaburan yang terlibat adalah sebanyak RM33 juta dan anggaran pengeluaran hasil pula dijangka sebanyak 63 matrik tan sebulan dengan nilai RM441,000 sebulan," jelas beliau.

Selain itu katanya pembangunan Fasa 2 tersebut dijangka mampu menjana 60 peluang pekerjaan baharu merangkumi pelbagai peringkat dalam tempoh 20 tahun bermula dari tahun 2020 hingga 2043.

"Ladang itu mendapat persijilan myGAP pada tahun 2021 dan hasil pengeluaran dengan jenama Farmego juga dieksport ke Singapura dan Hong Kong," ujar lagi.


Tag: