lightning-solid
Berita :
Tahfiz Jepun, Tahfiz Korea Bakal Diwujudkan Tahun Depan
Tahfiz Jepun, Tahfiz Korea Bakal Diwujudkan Tahun Depan
Amiirullah Mansor
1 hari yang lepas
50

DUNGUN, 15 Disember – Kerajaan Negeri Terengganu merancang untuk memperkenalkan dua produk pendidikan baharu di bawah IMTIAZ, iaitu IMTIAZ Tahfiz Japanese dan IMTIAZ Tahfiz Korea, bermula tahun 2026 sebagai kesinambungan usaha melahirkan pelajar berkemahiran tinggi berteraskan Al-Quran dan penguasaan bahasa antarabangsa. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Modal Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, hasrat tersebut selari dengan hala tuju pendidikan negeri untuk melahirkan pelajar dwi-kemahiran, menguasai ilmu agama, bahasa serta kepakaran profesional. 

“Mulai 2026, IMTIAZ akan memperkenalkan dua produk baharu iaitu Tahfiz bahasa Jepun dan Tahfiz Korea. Kita mahu melahirkan pelajar yang menguasai Al-Quran, mahir bahasa asing dan seterusnya menjadi jurutera serta pakar-pakar profesional yang memiliki kemahiran asas Al-Quran,” katanya.

Menurut beliau, fokus ini bertujuan mengembangkan potensi pelajar ke negara-negara pantai timur sebelah matahari terbit, khususnya di rantau Asia Timur, seiring keperluan global masa kini.

“Kita sedar pendidikan ini mengambil masa yang panjang. Sebagai contoh, pada tahun 2020 kita mula memperkenalkan IMTIAZ Tahfiz Mandarin, dan pada tahun ini, 2025, barulah kita dapat melihat hasil atau produk keluarannya,” jelasnya.

491689630_1220592016096116_1697864803322166182_n.jpg 721.21 KB
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah PASTI At-Tajdid, di Kuala Paka semalam.

Beliau berkata, hasil keberhasilan program tersebut pada hujung Ogos lalu, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Terengganu telah menghantar empat pelajar kumpulan pertama hasil Program Tahfiz Mandarin IMTIAZ Marang untuk melanjutkan pengajian ke Beijing Foreign Studies University (BFSU), China. 

Terdahulu, pada bulan Februari 2020, Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu (SMIYT) Marang mencatat sejarah sebagai sekolah tahfiz pertama di Malaysia yang menubuhkan kelas aliran bahasa Mandarin. 

Pada ketika itu, Satiful Bahari berkata, penubuhan program tersebut selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan pelajar yang menguasai pelbagai bahasa tanpa mengabaikan hafazan Al-Quran.

 “Pelajar mengikuti sukatan pelajaran seperti biasa termasuk program hafazan, dan pada masa sama mempelajari bahasa Mandarin bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas lima tahun pengajian,” katanya. 

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa program berkenaan akan membuka peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sama ada di dalam atau luar negara, sekali gus membuktikan Islam itu 'syumul' dan boleh mencakupi semua bahasa. 

Untuk rekod, pendaftaran pelajar Tingkatan Satu bagi Program Tahfiz Mandarin bermula pada 28 Januari 2020, melibatkan 19 pelajar terpilih yang lulus proses temuduga. 

598550721_1403219901166659_7167011297166783433_n.jpg 354.88 KB


Tag :

Artikel Berkaitan