• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Tak Sabar Menanti Siapnya Jambatan Baharu Marang'

MARANG, 25 Januari - Rata-rata penduduk di Terengganu khususnya di daerah ini sudah tidak sabar menanti siapnya jambatan baharu Marang yang bakal menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan kemalangan jalan raya di kawasan tersebut.

Peniaga, Rozi Mohd, 58, menyambut baik usaha kerajaan negeri dan persekutuan dalam menaiktaraf jambatan Laluan FT003 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dalam memudahkan urusan dan keselamatan pengguna.

Katanya, jambatan terdahulu yang berusia lebih 60 tahun terkenal dengan kesesakan trafik terutamanya pada musim cuti sekolah dan perayaan.

“Dengan jambatan baru ini tidak sibuk sangat lah jalan besar ini, nanti ia akan jadi lancar sama seperti di jambatan Kuala Ibai.

“Diharapkan juga kerja pembinaan ini comel dan tidak membawa masalah kepada orang kampung.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri diatas pembinaan kemudahan ini, selama ini terpaksa ‘berkepit’ sehingga ke simpang empat bandar Marang dan risiko kemalangan tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pantai Seberang Marang, pagi tadi.

Perasaan sama turut disuarakan seorang rumah Rakiah A Rahman, 64, yang menyifatkan penantian lebih separuh abad terhadap pembaharuan tersebut amat ditunggu-tunggu warga Marang.

“Saya bersama rakan satu kejiranan, Yahana Othman telah hidup sini sejak pembangunan jambatan pertama di Sungai Marang, sepanjang hidup di sini, jalan sibuk di laluan menghala Kuala Terengganu membuat kami nak melintas pun takut.

“Alhamdulillah dengan pembaharuan ini, kami amat suka dan memang sudah lama ditunggu-tunggu,” jelasnya.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, projek untuk menaiktaraf jalan dan jambatan bernilai RM338.5 juta itu akan mengurangkan masa perjalanan sekurang kurangnya 10 hingga 20 minit dan bakal beroperasi pada Oktober 2025.

Jelasnya lagi, kedudukan jambatan di Muara Sungai Marang yang menjadi perhentian untuk pelancong ke Pulau Kapas, Pulau Redang dan lain-lain akan menjadi penyumbang kepada sosioekonomi dan merancakkan ekonomi penduduk setempat di dalam industri perikanan dan pelancongan.