Jalur Gemilang
Berita :
Taman Pinggiran Pasir Akar Dijangka Siap Jun 2028
Taman Pinggiran Pasir Akar Dijangka Siap Jun 2028
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
232

KUALA TERENGGANU, 18 November - Projek perumahan mampu milik Taman Pinggiran Pasir Akar, Besut yang melibatkan pembinaan 348 unit rumah teres setingkat dijangka siap pada 30 Jun 2028.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemaju projek, Wanland Metro Sdn. Bhd. kini dalam proses memohon lanjutan tempoh pembangunan (EOT) kali keempat bagi meneruskan projek berkenaan.

"Untuk makluman Yang Berhormat, pihak pemaju, Wanland Metro Sdn. Bhd. dalam proses memohon lanjutan tempoh masa pembangunan EOT kali keempat.

"Pemaju juga turut mengemukakan rayuan lanjutan tempoh kepada KPKT melalui surat bertarikh 3 November 2026 dengan komitmen untuk menyiapkan projek pada 30 Jun 2028," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berhubung status kemajuan projek tersebut pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet), hari ini.

Husaimi turut menyoal penyelesaian kepada peserta yang telah membayar wang pendahuluan RM1,000 termasuk mereka yang memperoleh kelulusan pembiayaan bank.

Mengulas mengenai nasib pembeli yang telah membuat bayaran pendahuluan, Wan Sukairi berkata, pihak pemaju memaklumkan kesediaan untuk memulangkan wang berkenaan kepada pembeli yang mengemukakan permohonan beserta bukti pembayaran.

"Berhubung dengan tuntutan deposit, pihak pemaju memaklumkan kesediaan untuk memulangkan bayaran kepada pembeli yang mengemukakan permohonan beserta rekod atau bukti pembayaran.

"Pemaju juga akan mengemukakan perancangan dan langkah-langkah pelaksanaan bagi menyiapkan projek ini," jelasnya.

Ulasnya lagi, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) akan menjalankan semakan dan penilaian terperinci terhadap dokumen yang dikemukakan bagi menilai keupayaan pemaju serta kebolehlaksanaan perancangannya.

"Insya-Allah, pihak Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) akan menjalankan semakan dan penilaian terperinci terhadap dokumen yang dikemukakan bagi menilai keupayaan pemaju serta kebolehsanaan perancangannya.

"Pemantauan kemajuan projek turut dilaksanakan secara berkala supaya sasaran penyiapan dan penyerahan bilik kosong kepada pembeli dapat disusuli dengan teratur," katanya.

Beliau menegaskan, tindakan sewajarnya termasuk mempertimbangkan pelantikan pemaju penyelamat akan diambil sekiranya projek berkenaan masih gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan