• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tambah Baik Program Kukuh Institusi Keluarga

MARANG, 20 Disember- Kerajaan negeri akan menambah baik program sedia ada sebagai usaha memastikan institusi keluarga diperkukuh selari dengan hasrat supaya keharmonian dan nilai kasih sayang dapat dinikmati oleh setiap ahli di dalam keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, usaha itu secara tidak langsung dapat menjadi benteng kepada anak-anak dari terjerumus dengan perkara yang tidak berfaedah.

“Ini merupakan satu cabaran untuk kita. Bagaimana hendak bentuk keluarga ini supaya menjadi institusi keluarga yang mantap dan kukuh sekali gus dapat menghindar anak-anak dari terbiar dan terjebak dengan masalah sosial.

“Antara yang telah dilaksanakan kerajaan termasuk program-program pasca perkahwinan seperti ‘second honeymoon’ dan sebagainya. 

“Usaha-usaha pengukuhan institusi kekeluargaan ini dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain istitusi seperti sekolah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Lawatan dan Sesi Ramah Mesra Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri Bersama Penghuni Asrama Akhlak Rusila di sini, semalam.

Menurut Maliaman, pihaknya ketika ini dalam proses menubuhkan jawatankuasa tindakan sosial untuk menggabungkan semua institusi yang melibatkan sosialisasi ini dalam satu ‘task force’ kearah pembentukan masyarakat sejahtera.

Sementara itu katanya, peranan ibu bapa sangat penting dalam mendidik anak-anak.

“Kalau kita lihat, masalah sosial di kalangan remaja ini kebiasaannya berpunca daripada intitusi keluarga yang berpecah belah selain ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak.

“Dalam mendidik anak-anak ibu bapa juga perlu menjadi contoh teladan dengan menunjukkan sikap dan budi pekerti yang baik kerana anak-anak cenderung mengikuti tingkah laku yang paling hampir dengan mereka,” ujarnya.