• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tangguh Bayar Royalti Susahkan Rakyat

KUALA TERENGGANU, 30 November - Tindakan Kerajaan Persekutuan yang belum menjelaskan baki bayaran royalti petroleum kepada Terengganu dilihat seolah-olah seperti mahu menyusahkan rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Persekutuan mesti memulangkan dana itu langsung kepada Kerajaan Terengganu yang direkodkan sebagai hasil negeri dengan mengikut jadualnya seperti menjadi amalan sejak sekian lama.

“Mengenai Royalti Petroleum, walau apa juga nama yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan sama ada Wang Ehsan, Bayaran Tunai Petroleum atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan, suka saya tegaskan bahawa ia adalah hak rakyat dan Negeri Terengganu.

“Tindakan bertangguh-tangguh menyerahkannya dan dalam jumlah yang jauh sangat sedikit berbanding yang dianggarkan seperti bayaran ansuran bulanan, umpama sengaja mahu mengganggu dan menggagalkan pentadbiran kerajaan negeri dan kesannya adalah kepada rakyat,” ujar Ahmad Samsuri.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri akan terus berbincang dan berunding dengan beberapa pendekatan berasaskan Perlembagaan dan semangat federalisme sehinggalah Kerajaan Persekutuan menyerahkan kembali hak rakyat Terengganu ini.

Untuk rekod, dan berdasarkan kadar harga minyak yang turun naik, pada tahun 2018, Kerajaan Terengganu menerima Royalti Petroleum sebanyak RM1.374 Billion, RM1.497 Billion (2019), RM1.226 Billion (2020), RM1.287 (2021), RM1.393 Billion (2022), dan setakat ini pada tahun 2023 berjumlah RM0.56 Billion.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Terengganu akan memperkasakan sumber sedia ada dan meneroka sumber baharu sebagai strategi untuk menjana pendapat baharu kepada negeri.

“Kita telah mempunyai Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang telah dibentangkan dalam Jawatankuasa Peningkatan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri Terengganu pada 7 September 2023 untuk dijadikan strategi utama bagi meningkatkan hasil kerajaan.

Kerajaan optimis bahawa kita berupaya untuk meningkatkan pendapatan negeri secara berfasa. Namun begitu, kita perlu realistik dalam perkara ini,” ujarnya.

Jelas beliau, kesemua perancangan ini ada yang boleh dilaksanakan segera dan ada yang memerlukan masa yang lebih panjang, kerana ia melibatkan banyak pihak dan proses di pelbagai peringkat.

“Untuk memastikan perancangan ini benar-benar bermanfaatkan dan memberikan keuntungan kepada rakyat dan negeri, kita akan sentiasa cermat dan tidak tergesa-gesa dalam mengambil tindakan dan keputusan terutamanya melibatkan hasil baharu,” katanya.