• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Tangkapan Pasangan 'Basah' Catat Penurunan

Operasi di beberapa buah hotel awal pagi tadi. Foto oleh - Wan Luqman Hakim.
KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Bilangan tangkapan pelaku maksiat di daerah ini dan Kuala Nerus mencatatkan penurunan mendadak sejak operasi penguatkuasaan syariah dijalankan secara agresif bermula 1 Januari lalu.

Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Azmi Tengah memaklumkan, dalam operasi khas sempena 'Hari Kekasih' awal pagi tadi hanya tiga pasangan ditahan berbanding 10 sebelum ini.

Katanya, operasi yang melibatkan 20 anggota penguatkuasa dan sukarela berjalan selama lima jam bermula tiga pagi dengan menyasarkan lapan hotel dan premis yang telah dikenal pasti di dua daerah berkenaan.

"Enam orang yang ditahan akan didakwa bawah Seksyen 31 (a) dan (b) (berkhalwat) serta Seksyen 29 (perbuatan persediaan untuk melakukan persetubuhan).

"Bilangan itu menunjukkan berlaku penurunan yang banyak, biasanya sebelum ini 20 orang ditangkap, ini mungkin disebabkan peranan penguatkuasa dan media yang menimbulkan kegerunan kepada pelaku untuk membuat maksiat," katanya.

Azmi Tengah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas operasi tersebut di Kompleks Seri Iman, pagi tadi.

Menurutnya lagi, pelaku yang ditahan dalam operasi tersebut juga kebanyakannya adalah berasal dari luar Terengganu.

"Pasangan dari negeri ini ada, cuma bilangannya amat sedikit berbanding pelaku luar yang datang berkunjung ke sini.

"Jadi kita juga berharap agar pihak berkuasa negeri terus memainkan peranan dengan melakukan sebaran media berkait kemungkaran ini supaya ia menjadi cegahan umum.

"Ia selaras peruntukan undang-undang bagi merealisasikan Terengganu sebagai negeri sifar maksiat," tambah beliau.

Untuk rekod, seksyen 29 serta 31 (a) dan (b) di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tag: