• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan Akan Dibaik Pulih

Dr Alias (tengah) akan mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu.

Oleh : Safwan Syakir

 

 

 

KUALA NERUS, 26 Ogos - Tapak pelupusan sampah di Sungai Ikan di sini akan dibaik pulih dengan segera bagi mengelakkan berlakunya pencemaran alam sekitar akibat pengurusan sampah yang tidak sempurna.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak menegaskan, proses membaik pulih tempat berkenaan turut melibatkan pembinaan tapak baharu berdekatan ‘landfill’ sedia ada bagi menampung lebihan sampah.
 
Beliau walau bagaimanapun berkata, peruntukan untuk tujuan tersebut akan dirunding dan dibincang terlebih dahulu bersama kerajaan negeri dan jabatan terlibat sebelum sebarang operasi dilaksanakan.
 
“Kita sedang menunggu kelulusan peruntukan daripada kerajaan negeri bagi mewujudkan satu lagi tapak pelupusan baharu di atas tanah kerajaan berdekatan tapak sedia.
 
“Peruntukan berkenaan turut akan digunakan bagi menaik taraf infrastruktur  tempat pelupusan sampah sedia ada seperti jalan raya dan saliran longkang bagi memudahkan laluan keluar masuk lori sampah,” ujarnya.
 
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan ke tapak pelupusan sampah berkenaan di sini, hari ini.
 
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Shahidan Embok.
 
Sebelum itu, Dr. Alias yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, pihaknya menyambut baik cadangan untuk menggunakan teknologi baharu bagi melupuskan sampah.
 
Katanya, inisiatif berkenaan akan diteliti terlebih dahulu memandangkan teknologi itu masih belum terpakai sepenuhnya di Malaysia.
 
“Teknologi itu boleh memproses sampah menjadi tenaga, sudah tentu teknologi ini banyak manfaatnya, antaranya ia mampu menjimatkan penggunaan tanah.
 
“Walau bagaimanapun, perkara tersebut masih dalam tempoh percubaan melalui anak syarikat kerajaan negeri iaitu Terengganu Incoporated (Terengganu Inc), kita akan lihat hasilnya nanti,” tambah beliau.
 
Dr Alias berkata air buangan sisa pepejal itu berisiko mengancam kehidupan haiwan di sungai yang berdekatan.

Untuk rekod, tapak pelupusan sampah Sungai Ikan yang dibuka pada tahun 2005 itu meliputi kawasan seluas 34.5 hektar.

 

 

 

Dianggarkan sampah yang dibuang pada hari biasa adalah sekitar 250 hingga 280 tan sehari dan pada musim perayaan jumlah sampah akan berganda mencecah hampir 320 tan sehari.
 
 

 


Tag: