Tarif Tinggi AS Jejas Ekonomi Negara, Kerajaan Digesa Perluas Dagangan Baharu

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif import tinggi ke atas Malaysia, yang disifatkannya sebagai satu bentuk tekanan yang mampu menggugat kestabilan ekonomi negara.

Beliau berkata demikian ketika Mengulas mengenai isu perdagangan antarabangsa dalam Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas semalam.

Menurut beliau, kadar tarif yang dikenakan oleh AS ke atas produk Malaysia kini mencecah 24 peratus, jauh lebih tinggi berbanding Filipina (17 peratus) dan Singapura (10 peratus).

Jelasnya, situasi ini sebagai serius dan memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.

“Ekonomi kita menjadi tidak menentu apabila tarif dikenakan terlalu tinggi. Ini satu bentuk tekanan yang memerlukan tindakan balas yang proaktif dari kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan keperluan Malaysia untuk memperluaskan pasaran dagangan dengan rakan dagang baharu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap AS yang kini menyumbang lebih 40 peratus kepada jumlah perdagangan negara.

Che Mohamad Zulkifly turut mempersoalkan sejauh mana inisiatif rundingan perdagangan baharu telah digerakkan serta negara-negara mana yang telah terlibat setakat ini.

Katanya lagi, antara sektor utama yang terkesan dengan tarif tinggi ini termasuk sektor elektrik dan elektronik (E&E), getah, minyak sawit dan bahan kimia.

Beliau turut memberi amaran bahawa sektor semikonduktor, yang menyumbang hampir 20 peratus kepada eksport E&E negara, juga berpotensi menjadi sasaran tarif pada masa akan datang.

“Kita tak boleh tunggu sehingga semuanya dikenakan tarif. 'Prevention is better than cure'. Kita perlu bersedia dari sekarang dan cari rakan dagangan strategik yang baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Besut itu turut menyentuh ketidaktentuan dasar ekonomi dalam negara termasuk peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kenaikan tarif elektrik yang belum dijelaskan sepenuhnya.

Tambahan pula, pelaksanaan subsidi bersasar yang dijangka bermula pertengahan tahun ini turut menambah kebimbangan rakyat terhadap beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau turut mencadangkan agar dasar import negara dikaji semula supaya selari dengan kapasiti pengeluaran dalam negara.

“Kalau tarif kita terlalu tinggi, mereka tidak akan beli. Kita juga terlalu banyak bergantung kepada import.

"Bila kita kurangkan import tanpa cukup pengeluaran dalam negara-pertanian, perkilangan – kita akan hadapi masalah besar. Ini perlu diberi perhatian segera,” jelasnya. 


Tag: