• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Tasik Biru Kemaman Berpotensi Jadi Lokasi Pelancongan

KEMAMAN, 31 Oktober - Tasik biru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih yang merupakan tapak tinggalan bekas lombong dilihat berpotensi diangkat sebagai tempat tarikan pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, melalui perbincangan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, tasik tersebut dijangka bakal dinaik taraf menjadi trek riadah yang mengelilingi tasik berkenaan.

Menurutnya, satu lawatan penting telah diadakan di beberapa lokasi strategik dalam DUN Air Putih bagi usaha memajukan potensi pelancongan di sini.

"Lawatan yang bermula pada jam 10.00 pagi itu dimulakan dengan rombongan ke Bukit Mentok Hiking Park yang menjadi tumpuan orang awam untuk mendaki kerana kawasannya yang terpelihara.

"Beberapa cadangan turut dilontarkan supaya diadakan aktiviti memancing setelah melihat persekitaran keadaan sungai yang mampu menarik minat pelancong," katanya ketika lawatan semalam.

Tambah Hafiz, pada lawatan berkenaan turut diadakan kunjungan ke Rumah Jambi yang terletak di Pasir Gajah, Kemaman.

"Rumah unik ini yang mengetengahkan unsur tradisi binaan Jambi, Sumatera dan menjadi salah satu tinggalan sejarah yang berharga di sini.

"Seterusnya, rombongan bergerak ke Turtle Conservation Society Of Malaysia yang terletak di Dewan Orang Ramai, Pasir Gajah bagi melihat persekitaran, menilai keadaan tempat pemuliharaan dan pembiakan spesis tuntung," katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berkata, pihaknya juga berkesempatan untuk melawat MD Agro di Kampung Batu 16 dan mengadakan sedikit perbincangan mengenai hala tuju dan potensi yang boleh memajukan sektor pelancongan dan kebudayaan.

"Lawatan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan tempatan dalam memajukan potensi pelancongan di Dun Air Putih.

"Sekali gus, memperkenalkan destinasi menarik kepada pelancong tempatan dan luar negeri.

"Diharapkan usaha ini akan membawa manfaat besar kepada kawasan tersebut serta mengukuhkan ekonomi tempatan," ujarnya.


Tag: