HULU TERENGGANU, 27 Ogos – Tasik Kenyir terus mencuri perhatian di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai lokasi penggambaran rancangan realiti survival dari Amerika Syarikat, Extracted, sekali gus membuka peluang besar untuk memperkenalkan keunikan khazanah alam Terengganu kepada penonton global.
Perkara itu dizahirkan menerusi Lawatan Rasmi ke Tapak Studio Rancangan TV Extracted di Pulau Poh, Tasik Kenyir yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Revolution Production, Zainir Aminullah.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau perkembangan serta persiapan lokasi penggambaran selain melihat sendiri potensi Tasik Kenyir sebagai destinasi penggambaran produksi antarabangsa.
Extracted kali ini merupakan siri pertandingan realiti survival Amerika Syarikat yang menampilkan 12 peserta biasa tanpa pengalaman hidup di hutan untuk berdepan cabaran hidup dalam persekitaran liar di kawasan Tasik Kenyir.
Peserta bergantung kepada keputusan keluarga sama ada menghantar bekalan atau menekan butang ‘Extract’ untuk menamatkan penyertaan mereka, dengan hadiah utama sebanyak AS$250,000.
Pemilihan Tasik Kenyir sebagai lokasi penggambaran dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap keistimewaan alam semula jadi kawasan berkenaan yang kaya dengan biodiversiti, hutan hujan tropika, kepelbagaian flora dan fauna serta bentuk muka bumi yang mencabar.

Lebih penting, peluang dan kepercayaan diberikan kepada Tasik Kenyir untuk menjadi lokasi penggambaran produksi antarabangsa seumpama ini mampu memberi impak positif terhadap sektor pelancongan, ekonomi setempat serta industri kreatif di Terengganu.
Pemilihan Pulau Poh dan kawasan sekitar Tasik Kenyir turut membuktikan bahawa khazanah alam Hulu Terengganu mempunyai daya tarikan tersendiri untuk diketengahkan kepada dunia, khususnya dalam industri penerbitan kandungan dan produksi televisyen antarabangsa.
Tasik Kenyir bukan sekadar khazanah alam negeri Terengganu, malah berpotensi menjadi pentas dunia yang memperkenalkan keindahan, biodiversiti dan keunikan hutan hujan tropika Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.