• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tasik Kenyir Kini Diisytihar Geopark Kebangsaan

KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Sektor Pelancongan di Terengganu terus mendapat tumpuan setelah kawasan Tasik Kenyir kini diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan ke-9 di bawah Program Pembangunan Geopark Malaysia dengan nama ‘Kenyir Geopark’.

Pengerusi Jawatankuasa pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, keputusan itu diumumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaaan Kali-1, Tahun 2023 semalam di Wisma Sumber Asli, Putrajaya.

Katanya, pengiktirafan tersebut diperoleh selepas melihat kepada nilai warisan geologi bertaraf antarabangsa dan pembangunan lestari dalam komponen pelancongan, warisan kebudayaan, pendidikan komuniti serta kebudayaan yang wujud di sana.

“Pengisytiharan tersebut sekaligus memberi dimensi baharu kepada Tasik Kenyir yang sememangnya menjadi tarikan utama pelancong ke daerah Hulu Terengganu.

“Ia juga  memberi nilai tambah terutama kepada sektor pelancongan, selain mewujudkan peluang pekerjaan, penjanaan aktiviti ekonomi berkait pelancongan serta pembangunan sosial komuniti terbabit,” katanya dalam satu kenyataan. 

Sementara itu, Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata turut menjelaskan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo tidak akan membebankan mana-mana pihak atau menjejaskan pendapatan sedia ada kerana tidak membabitkan pewartaan.

Katanya, status Taman Geo Kebangsaan akan melonjakkan lagi nilai pelancongan dan ekonomi Tasik Kenyir dan secara tidak langsung akan meningkatkan sosio-ekonomi komuniti setempat yang terdiri daripada masyarakat luar bandar dan Orang Asli.

Tasik Kenyir yang mempunyai keluasan 209,199 hektar adalah tasik buatan terbesar di Asia Tenggara dan menjadi habitat kepada ribuan spesis flora dan fauna.

Keluasan itu  merangkumi kawasan Tasik Kenyir seluas 26,000 hektar, 340 buah pulau, 15 kawasan geotapak antaranya penemuan fosil kesan tapak kaki dinasour, batu kapur Bukit Bewah, penara Gunung Gagau.

Ini termasuk  11 tapak warisan budaya seperti Batu Bersurat, Makam Tok Gajah, Kampung Tradisi, serta 10 lokasi biotapak antaranya Gua Bewah, Gua Taat, Sungai Lawit, Taman Orkid, Gunung Gagau dan Santuari Gajah

Ia juga adalah lokasi di mana fosil dinosaur ditemukan selain penemuan rangka manusia tertua di Malaysia dikenali sebagai ‘Bewah Man’ - yang berusia 16,000 tahun dan fosil marin, Shikamaia Sp. (kerang gergasi) yang dianggarkan berusia 250 juta tahun di sekitar dinding gua berkenaan.