• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

TATiUC Jalin Kerjasama Dengan OOSB Dan iMSSB

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (empat dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU).
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober - Kolej Universiti Tati (TATiUC) hari ini menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan industri untuk menjalinkan kerjasama dalam penyelidikan dan modal insan.

Bagi tujuan tersebut, TATiUC menandatangani MoU dengan Optimistic Organic Sdn Bhd (OOSB) yang merupakan sebuah syarikat berasaskan pengeluaran bahan kimia khususnya penghasilan Maleic Anhydride dalam bentuk cecair ataupun pepejal yang menggunakan teknologi Jerman.

TATiUC turut menandatangani MoU dengan Integratus Maintenance Services Sdn Bhd (iMSSB) sebuah syarikat kejuruteraan, baik pulih, fabrikasi, operasi dan pengurusan fasiliti yang terkemuka di kawasan industri setempat.

Bagi kedua-dua MoU itu, TATiUC diwakili Rektornya, Prof. Dr. Anuar Ahmad, manakala OOSB diwakili Pengarahnya Mohd Ali Ayub dan iMSSB pula diwakili Pengarah Urusannya, Hamidon Md. Khayon.

Majlis disaksikan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.


Dr Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, melalui kerjasama itu, ianya memberi makna besar dalam membangunkan modal insan Negeri Terengganu dan mampu membantu merealisasikan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.

“Kerjasama ini diharap dapat dipertingkatkan lagi sehingga ke skala lebih besar seperti industri menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar TATiUC dan pada masa sama, kepakaran TATiUC digunakan di lapangan industri.

“Jalinan kerjasama antara TATiUC dan industri tentunya akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, malah memberi impak lebih besar kepada anak-anak Terengganu,” ujarnya di Majlis Menandatangani Memorandum  Persefahaman (MoU) Diantara TATiUC dengan OOSB dan iMSSB di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat. 



Sementara itu, Prof. Dr. Anuar berkata, dalam memastikan institut pengajian tinggi seperti TATiUC terus relevan dan berkembang, sinergi dengan rakan industri adalah penting.

“Kerjasama yang dimeterai antara TATiUC dengan OOSB dan iMBSSB akan menjadikan TATiUC dan rakan industri sebagai sebuah kerjasama yang baik dalam bidang pendidikan, perundingan, penyelidikan serta latihan khususnya berkaitan teknikal dan kejuruteraan,” ujarnya.

Katanya, melalui kerjasama itu antara lainnya adalah untuk menjadikan graduan TATiUC sebagai pilihan utama untuk ditawarkan pekerjaan sejurus selepas menamatkan latihan industri.

“TATiUC pula akan membekalkan konsultasi kepakaran dalam bidang berkaitan termasuk menjalankan kursus jangka pendek kepada pemain industri, juga membangunkan dan menggalakkan penyelidikan, seminar, bengkel dan persidangan bersama,” ujarnya.



Tag: