• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

TDM Berhad Miliki Dua Loji Biogas

KEMAMAN, 29 Mei – TDM Berhad (TDM) melalui anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. kini memiliki dua loji Janakuasa Biogas yang telah berjaya dihidupkan dan beroperasi sepenuhnya.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata kedua-dua Loji Jana kuasa Biogas itu terletak di Kampung Padang Kubu di sini dan Sungai Tong, Setiu.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Loji Janakuasa Biogas bertempat di Loji Janakuasa Biogas TDM, Kemaman di sini semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Tengku Seri Bijaya Raja berkata, kesemua Loji Jana Kuasa tersebut bernilai hampir RM50 juta yang menggunakan sistem lagun tertutup itu mampu menjana 2 MegaWatt (MW) setiap jam ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Di samping, dapat menghasilkan 29,784,000 kilowatt per jam (kWj) tenaga boleh diperbaharui setiap tahun.

“Loji Janakuasa Biogas ini merupakan hasil kerjasama antara TDM dan Concord Biotech Sdn. Bhd. yang bermula pada tahun 2019.

"Kedua-dua pihak ini bekerjasama dalam membangun, mengendali dan mengekalkan penjanaan kuasa berasaskan tenaga yang boleh diperbaharui," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmikan Loji Janakuasa Biogas semalam.

Tambah Bijaya Raja, Biogas merupakan sejenis gas yang dijana melalui pencernaan bahan-bahan organik dan boleh digunakan sebagai bahan bakar kenderaan atau sebagai pengganti gas asli bagi proses penjanaan tenaga elektrik. 

“Pembinaan Loji Biogas ini merupakan salah satu strategi TDM bagi mengoptimumkan pengurusan rawatan effluen kilang sawit, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yg terhasil daripada sistem rawatan effluen Kilang sawit.

"Sekali gus, mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) dalam menuju ke arah memacu pembangunan mampan. 

"Pelaksanaan inisiatif berdasarkan teknologi hijau ini akan dapat memastikan penjagaan alam sekitar yang mampan serta mengukuhkan lagi sistem rawatan olahan kilang Sawit yang sedia ada supaya tidak mencemarkan alam sekitar," ujarnya.

Beliau berkata, Loji Biogas ini juga akan Meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui bagi menjamin bekalan tenaga negara yang mampan Pada masa hadapan," ujarnya.

Sementara itu, projek ini turut menerima pengiktirafan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

 

 

 


Tag: