• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TDM Berhad Perkenal Program Ladang Sahabat TDM

KUALA TERENGGANU, 20 Oktober- TDM Berhad melalui anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd., sebuah syarikat perladangan kelapa sawit mengorak langkah memperkenalkan Program Ladang Sahabat TDM.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hamdan Ibrahim berkata, ianya merupakan salah satu program perkongsian, khidmat nasihat serta Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada komuniti khasnya kepada pekebun kecil.

"Program ini akan menjadi salah satu sasaran TDM dalam menjaga kesejahteraan komuniti sekeliling disamping dapat meningkatkan kesedaran akan pentingnya perkongsian ilmu. 

"Perkongsian ini sedikit sebanyak menunjukkan keberadaan kami di ketahui dan seterusnya hubungan ukhwah dapat ditingkatkan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut katanya, Program Ladang Sahabat TDM terbuka kepada pekebun-pekebun kecil di Terengganu untuk berdaftar dengan TDM. 

"Bagi memudah urusan pendaftaran, pekebun-pekebun kecil juga boleh berdaftar dengan Pejabat Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) di kawasan masing-masing atau berurusan terus dengan pejabat di ladang-ladang dan Kilang Kelapa Sawit TDM.

"Menarik melalui program ini, TDM menawarkan khidmat nasihat serta perkongsian secara percuma yang merangkumi pengurusan kebun sawit, penggunaan baja serta amalan pertanian baik, " jelasnya. 

Tambah beliau, selain khidmat nasihat, TDM turut menerima dan bersedia membeli buah kelapa sawit dari pekebun-pekebun kecil yang berdaftar pada harga pasaran.

"Pekebun boleh menghantar buah-buah sawit ke Pusat Timbang TDM yang berdekatan untuk urusan jual beli.

"Kami yakin bahawa inisiatif kebersamaan yang kami ambil ini adalah penting dalam memastikan kejayaan perniagaan kami dan kesejahteraan komuniti setempat, terutamanya pada kadar jangka masa yang panjang, " ujarnya. 

Katanya, pelan hala tuju strategik TDM ke arah masa depan yang lebih mampan menjadi contoh progresif terutamanya dalam industri perladangan, yang juga mencerminkan komitmen syarikat terhadap tanggungjawab sosial.