lightning-solid
Berita :
TDM Berhad Salur Bantuan Buat 200 Asnaf DUN Tepoh
TDM Berhad Salur Bantuan Buat 200 Asnaf DUN Tepoh
Noraini Jusoh
26 Jun 25
233

KUALA TERENGGANU, 26 Jun - TDM Berhad meraikan seramai 200 asnaf menerusi program TDM Bersama Masyarakat Tepoh di Dewan Masyarakat Tok Jiring, hari ini 

Antara pengisian program termasuk tazkirah Dhuha, perasmian serta penyampaian sumbangan berbentuk barangan keperluan asas dan wang tunai serta pemeriksaan kesihatan percuma oleh Klinik Ikram Gong Badak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menyambut baik pelaksanaan program itu yang turut mendapat kerjasama erat Tepoh Care dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Tepoh.

Katanya, ia bukan sahaja meringankan beban rakyat, tetapi turut memperkukuhkan hubungan antara sektor korporat dan juga masyarakat khasnya komuniti Tepoh.

"Apa yang dilakukan oleh TDM pada hari ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi keprihatinan dan semangat kebersamaan yang semakin diperlukan dalam masyarakat kita.

"Usaha ini sangat selari dengan tuntutan agama dan lebih penting, ia lahir dari keikhlasan," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada pendekatan berimpak tinggi dalam membudayakan nilai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat sebagai sebahagian daripada operasi korporat. 

"Menyedari realiti peningkatan kos sara hidup, syarikat percaya bahawa kerjasama erat antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan komuniti adalah asas kepada kemampanan sosial," ujarnya.

Tambah beliau, program CSR ini memberi fokus utama kepada bantuan langsung kepada komuniti, khususnya golongan asnaf, warga emas dan keluarga kurang berkemampuan. 

"Sebanyak RM40,000 zakat wakalah syarikat
diperuntukkan untuk komuniti Tepoh dan akan dikongsi juga kepada masyarakat melalui program-program kebajikan lain. 

"Tepoh adalah peringkat DUN siri ke-7 di mana sebelum ini kami telah pun menjelajah DUN bagi Kota Putera, Jerteh, Ajil, Kuala Besut, Bukit Besi dan Rhu Rendang," ujarnya.


Artikel Berkaitan