• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

TDM Berhad Terima Anugerah ACES 2023

KUALA TERENGGANU, 26 November- Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad menerima Anugerah Bintang Meningkat Kelestarian (Sustainability Rising Star Award) di Anugerah Kecemerlangan dan Kelestarian Korporat Asia (ACES) 2023, pada Jumaat.

Menurut Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin, pengiktirafan tersebut merupakan bukti komitmen TDM dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs) dalam pelaksanaan pembangunan serta kelestarian yang juga menjadi sebahagian usaha menyokong serta menyumbang kepada inisiatif Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat.

"Anugerah ini adalah sebuah kejayaan yang begitu bermakna kerana kami sangat memandang serius soal kelestarian syarikat dalam usaha ke arah masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan.

"Usaha dan komitmen terhadap kemampanan ini merupakan usahasama ramai pihak yang diketuai oleh Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Kelestarian (SCoM) dan Kumpulan Kerja Kelestarian (SWG) bagi memastikan aspek kelestarian sentiasa dititikberatkan serta dapat disepadukan ke dalam pertumbuhan jangka panjang syarikat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada pemberita, hari ini.

Dalam majlis yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur itu, TDM diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare); Dr. Rayney Azmi Ali dan Ketua Pemantauan Prestasi Pelaburan TDM; Hasnol Zariman Mohd Hashim.

Sebagai rekod, antara pencapaian TDM yang membanggakan pada tahun 2023 sekaligus menyumbang kepada kejayaan memperoleh pengiktirafan ACES 2023 adalah melalui pelancaran serta perasmian dua loji biogas yang inovatif di Sungai Tong dan Kemaman, Terengganu.

Selain itu, komitmen TDM juga dapat dilihat melalui inisiatif peralihan lampu kalimantang kepada lampu diod pemancar cahaya (LED) cekap tenaga di pejabat-pejabat korporat sehingga berjaya mencapai pengurangan 16.6% dalam pelepasan gas rumah hijau bersih pada tahun 2022.


Tag: