• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

TDM, EY Teroka Kerjasama Lahir Pakar Akaun

KUALA TERENGGANU, 23 Disember - TDM Berhad hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama organisasi perkhidmatan profesional Ernst & Young PLT bagi melahirkan tenaga kerja perakaunan dan kewangan mahir.

Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin memaklumkan, persefahaman tersebut terdiri daripada dua program iaitu Program Pelatih untuk Kelayakan Perakaunan Profesional dan Program Peminjaman Kakitangan.

"Kolaborasi ini akan berlangsung bagi tempoh dua tahun pertama ini dan kita akan melihat keperluan untuk meneruskannya pada masa akan datang.

"Program ini akan bermula seawal Januari dengan tiga calon bagi sesi pertama melibatkan kedua-dua program," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis menandatangani MoU tersebut yang disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Zahari Md. Azahar di Wisma Darul Iman, hari ini.

Jelasnya, kerjasama yang diusahakan itu merupakan peluang berharga bagi pihak syarikat untuk mengetengahkan bakat perakaunan supaya dapat menerima latihan yang relevan dan menimba pengalaman kerja dengan salah satu firma perakaunan terkemuka negara.

"Calon Program Pelatih untuk Kelayakan Perakaunan Profesional akan menjalani latihan selama dua tahun bersama EY sebagai pelatih dan akan diambil bekerja tertakluk pada terma dan syarat kontrak pekerjaan EY.

"Manakala kakitangan TDM yang mengambil bahagian dalam Program Peminjaman Kakitangan akan bekerja bersama EY selama enam bulan untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengkhususan perkerjaan masing-masing," katanya.

Tambahnya lagi, inisiatif berkenaan juga merupakan misi untuk mendorong pembangunan modal insan di negeri Terengganu dan komitmen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat untuk memperkasakan bukan sahaja tenaga kerja perakaunan profesional di TDM tetapi juga
graduan perakaunan yang berkelayakan

"Kita berusaha menyediakan platfom untuk merealisasikan potensi mereka sepenuhnya dan terus maju dalam kerjaya profesional masing-masing.

Kami juga ingin memastikan pekerja kami mengikuti perkembangan kemahiran dan kepakaran yang berkaitan untuk menyokong pertumbuhan syarikat secara tidak langsung," katanya.

 

 


Tag: