• 14 Apr 2021 | 2 Ramadhan 1442

TDM Kembali Tersenarai Sekuriti Patuh Syariah

KUALA TERENGGANU, 27 November - Anak syarikat kerajaan Terengganu, TDM Berhad dimasukkan semula ke dalam senarai sekuriti Patuh Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bersama dengan 34 syarikat perladangan lain yang telah berada dalam senarai.

Senarai-senarai sekuriti Patuh Syariah terkini yang diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) SC berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi TDM Berhad, Raja Dato' Idris Raja Kamarudin berkata, pengiktirafan itu mengukuhkan lagi jaminan kepada pelabur dan pihak berkepentingan bahawa perniagaan syarikat adalah mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Metodologi Saringan Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

"Pada tahun 2015, Kumpulan TDM dikecualikan daripada senarai Patuh Syariah kerana tidak mematuhi tanda aras berasaskan aktiviti yang disemak semula di mana had yang dibenarkan diperketatkan kepada lima peratus daripada 10 peratus.

"Pada bulan Oktober 2018, TDM telah menyusun 'IDR Note' dan 'Credit Linked Note' mengikut tetapan tanda aras yang disemak semula.

"Hari ini, TDM dengan bangganya merupakan salah satu daripada 715 saham patuh Syariah di Bursa Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Kumpulan TDM kini memberikan fokus kepada strategi dan pelan kesinambungan perniagaan untuk mengembangkan perniagaan syarikat.

"Dengan pengambilalihan TDM-YT Plantation Sdn Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai THP-YT Plantation Sdn Bhd, TDM kini memiliki dan menguruskan 17 ladang kelapa sawit, tiga buah kilang, tiga kilang Bio-Organik dan tiga loji Biogas yang terletak di Terengganu dan Indonesia.

"Kumpulan juga aktif dalam bidang penjagaan kesihatan melalui anak syarikat, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMIHealthcare), yang menguruskan empat hospital pakar iaitu Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTSH), Kuantan Medical Centre (KMC), Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) and Taman Desa Medical Centre (TDMC)," tambah beliau.

 


Tag: