• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

TDM Plantation, Syarikat Perladangan Pertama Diiktiraf ISCC EU

KUALA TERENGGANU, 5 April – Bahagian perladangan TDM Berhad, TDM Plantation (TDMP) menjadi syarikat perladangan Terengganu pertama yang menerima pengiktirafan daripada Suruhanjaya Eropah (ISCC EU).

Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Mohd Ghozali Yahaya berkata, pengiktirafan kepada anak syarikat TDM itu diberikan selepas penilaian teknikal dijalankan terhadap rantaian bekalan, operasi dan gas rumah hijau (GHG) syarikat oleh badan pensijilan yang berdaftar dengan ISCC di unit operasi Zon Selatan TDMP.

“Ia telah diperakui dengan Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa yang diluluskan oleh ISCC EU berkuatkuasa mulai 17 Mac 2021 hingga 16 Mac 2022.

“Keputusan penilaian menunjukkan bahawa pendekatan kelestarian syarikat memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, TDMP telah diaudit pada 10 serta 11 Februari 2021 dan keputusan mengenainya diumumkan pda 13 Mac 2021 .

"Kami sangat berbesar hati untuk menerima pengiktirafan yang memperkuatkan lagi komitmen berterusan syarikat terhadap amalan lestari.

"Kejayaan ini juga merupakan bukti dedikasi kami dalam menghijaukan operasi dan amalan syarikat melalui inovasi dan teknologi untuk mengurangkan jejak karbon dan kesannya terhadap persekitaran di samping menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, komitmen jangka panjang TDM terhadap kelestarian tidak hanya terhad di semua ladang dan kilang syarikat tetapi juga dapat dilihat dengan jelas di bahagian penjagaan kesihatan TDM.

“Empat hospital komuniti kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) yang menawarkan penjagaan sekunder dalam semua bidang utama kesihatan. 

“Saya berbesar hati dapat menyaksikan satu lagi hasil titik peluh pasukan perladangan yang telah membawa syarikat ke arah kejayaan, satu perakuan nilai tambah diatas penghargaan dan penanugerahan yang sedia ada.

"Pencapaian yang signifikan ini juga memberikan inspirasi kepada kami untuk terus mengurus dengan teliti kesan operasi perniagaan terhadap alam sekitar, memberikan sokongan kepada komuniti di kawasan syarikat beroperasi, dan mengekalkan persekitaran kerja yang selamat," tambahnya lagi.

Untuk rekod, TDM berdiri sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Malaysia pertama yang memperolehi 100 peratus Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
 


Tag: