• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

TDM Plantation Tawar Peluang Pekerjaan Sektor Perladangan

KEMAMAN, 4 Oktober - TDM Plantation (TDMP) menawarkan peluang pekerjaan di sektor perladangan kelapa sawit di mana pendapatannya agak lumayan kepada rakyat Terengganu terutama golongan muda.

Pengawal Perladangan TDMP Zon Selatan, Roslan Othman ketika berucap pada sesi taklimat tempoh hari berkata, ini adalah peluang terbaik kepada penduduk tempatan mahupun di luar dengan tawaran pakej yang terbaik dari TDMP.

"Kami menawarkan pakej yang terbaik kepada mereka yang berminat dalam sektor ini dengan memasukkan potongan caruman Kumpalan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk masa tua mereka dan caruman insuran Perlindungan Keselamatan Sosial daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) jika berlaku kemalangan kepada mereka,

"Terdapat enam ladang kelapa sawit TDMP seluas 17 ribu hektar di Zon Selatan ini yang perlu diisi kekosongannya oleh anak Terengganu," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh yang turut hadir berkata, masyarakat perlu mengubah pemikirannya daripada makan gaji di sektor gas dan minyak kepada sektor perladangan.

"Kita perlu beralih daripada sektor minyak dan gas yang agak lembab kebelakangan ini kepada sektor perladangan kelapa sawit di mana pendapatannya agak lumayan sekarang,

"Peluang yang terhidang ini perlu direbut sebaik mungkin demi kelangsungan pengeluaran minyak kelapa sawit kita di mana harga minyak sawit mentah di pasaran dunia sekarang adalah sekitar RM4,000 hingga RM4,500 per tan," ujarnya.

Hazri Jusoh (depan, tiga dari kiri) berfoto selepas taklimat.

Turut hadir dalam sesi taklimat tersebut yang diadakan di Kompleks Kemaman TDMP, Padang Kubu itu ialah Ketua Komuniti Outreach TDMP, Nor Ashari Abd. Latif, Pengurus-Pengurus Ladang di Zon Selatan dan beberapa orang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung di sekitar kawasan tersebut.

TDMP adalah anak syarikat kepada TDM Berhad yang merupakan syarikat milik kerajaan negeri Terengganu.


Tag: