• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

TDM Salur RM1.87 Juta Keuntungan Kepada LTAWNT

KUALA TERENGGANU, 27 Oktober - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad hari ini membayar RM1,867,934 hasil keuntungan syarikat itu kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).

Pengarahnya, Najman Kamaruddin berkata, langkah itu merupakan perjanjian perkongsian keuntungan bersama untuk usaha sama kedua-dua syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

"Keuntungan itu hasil prestasi yang cemerlang daripada bahagian perladangan, pencapaian ini turut disumbangkan melalui pelaksanaan pelan perniagaan strategik syarikat yang dijalankan secara berdisiplin dan mendapat sokongan berterusan tidak berbelah bahagi daripada kakitangan syarikat yang berdedikasi.

"Di samping amalan pengurusan risiko yang berhemat sejak penularan wabak koronavirus berlaku. Bagi tahun berakhir 2020, perniagaan perladangan TDM telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM24.8 juta, ia merupakan pemulihan luar biasa berbanding kerugian sebelum cukai yang dialami pada tahun sbelumnya sebanyak RM24.5 juta.

"Bahagian ini juga mencatatkan EBITDA yang lebih besar iaitu sebanyak RM89.8 juta berbanding RM42.4 pada tahun sebelumnya," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Replika Cek Perkongsian Keuntungan kepada LTAWNT di hadapan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Mengulas lanjut, katanya pembayaran dividen berterusan itu juga memberi gambaran jelas akan kemapuan syarikat dalam menguruskan 1,336 hektar ladang kelapa sawit yang terletak di Ladang Air Putih.

"Ia juga merupakan satu bentuk penghargaan kepada rakan perniagaan di atas sokongan yang diberikan. Bayaran keuntungan itu juga merupakan bukti komitmen TDM dalam memberikan pulangan yang mampan kepada pemilik tanah yang telah diamanahkan kepada kami untuk menguruskannya," ujarnya lagi.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berbangga dengan pencapaian TDM yang secara tidak langsung membantu melonjakkan ekonomi negeri.

"Sebanyak RM1.8 juta dibayar ke LTAWNT dan jumlah ini meningkat berbanding tahun lepas yang hanya sekitar RM1.05 juta, ini adalah hasil pelan pelaksanaan syarikat," jelasnya.

 

 


Tag: