• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

TEKUN Mobilepreneur Peluang Anak Muda Jana Pendapatan


Oleh : Muhammad A Rahman

KUALA LUMPUR, 8 Julai - TEKUN Nasional membuka peluang kepada golongan yang hilang mata pencarian termasuk para belia untuk menjadi ‘rider’ bagi syarikat penghantaran makanan, barangan dan keperluan harian.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato' Sri  Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sejak ia diwujudkan pada April lalu, skim pembiayaan tanpa faedah ini telah meluluskan 215 permohonan ‘rider’ e-hailing.

“Bagi membantu lebih ramai usahawan untuk menceburi bidang ini namun tidak mempunyai modal membeli motosikal, TEKUN Nasional telah mewujudkan Program TEKUN Mobilepreneur 2.0 yang pembiayaan maksimum sehingga RM10,000.

“Sebelum ini pembiayaan hanya RM2,000 pada TEKUN Mobilepreneur 1.0 yang berfokus kepada rider yang mahu membaiki motorsikal dan memasang aksesori tambahan,” ujar beliau ketika ditemui di Majlis Pelancaran TEKUN Mobilepreneur semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi TEKUN Nasional, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata lebih 450 orang ‘rider’ e-hailing berminat menyertai Program TEKUN Mobilepreneur ini dan dijangka mampu menarik lebih 500 e-hailing ‘rider’.

“Untuk fasa 1, kita jangka 500 orang rider dan kini 215 telah diluluskan dan fasa 2 pula 500 orang rider juga dan kini 48 orang yang telah mendaftar, lima orang telah diluluskan permohonannya.

“TEKUN Nasional juga akan mengeluarkan satu lagi skim iaitu TEKUN Business Recovery Scheme (TBRS) yang akan ditawarkan pada 13 Julai ini. Kita mensasarkan 10 ribu hingga 12 ribu pemohon bagi skim ini,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Setiu.

Orang awam yang berminat boleh melayari laman sesawang TEKUN Nasional di www.tekun.gov.my atau laman Facebook TEKUN Nasional untuk mendapatkan maklumat lanjut.