• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Agih RM500 Kepada Warga Tani Positif Covid-19

KUALA TERENGGANU, 14 Februari – Kerajaan Negeri Terengganu mengagihkan bantuan tunai sebanyak RM500 kepada warga tani yang dijangkit Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata siri pertama bantuan itu telah berjaya diagihkan kepada seramai 92 orang warga tani, penternak dan nelayan untuk tempoh dari Mac 2020 sehingga Julai 2021.

"Hari ini untuk siri kedua, kami agihkan lagi kepada seramai 101 orang dari seluruh negeri Terengganu yang disahkan positif Covid-19 dalam tempoh sehingga Disember 2021.

"Jika dilihat kepada angka sektor ini, mereka antara yang berisiko rendah untuk dijangkiti Covid-19 sebab dari bulan Mac 2020  sampai Julai 2021 tidak sampai 100 orang. Namun kini ada peningkatan agak ketara yang perlu digandakan langkah berjaga-jaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Penyerahan Bantuan Covid-19 di Pusat Pertanian Bandar Batu Buruk Kuala Terengganu hari ini.

Dalam pada itu menurutnya, bantuan 'one off' tersebut bukanlah satu jumlah yang besar namun ia diharap dapat membantu para penggiat pertanian.

"Bantuan ini bukan istilah tidak boleh beri sedikit banyak tidak mengapa tapi istilahnya tidak boleh beri banyak pun tidak mengapa namun sekurang-kurangnya ada," katanya.

Jelas beliau, pihak negeri dan portfolio pertanian sangat menghargai sumbangan, jasa bakti dan keringat yang dicurahkan oleh para warga tani.

"Bekerja dalam situasi sukar pandemik yang tidak pernah berhenti demi untuk membekalkan makanan kepada rakyat negeri Terengganu. Sejak daripada Mac 2020 saya dengan jabatan pertanian, berjuang tanpa henti demi memastikan sektor pertanian ini tidak disekat.

"Yang akhirnya nelayan boleh turun ke laut, penternak boleh pergi kendang hasil pertanian boleh dipasarkan dengan apa cara sekalipun.

"Keadaan jatuh bangun, penuh kesukaran naik turun sejak daripada perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac 2020 sampai kepada hari ni tak pernah terhenti. Kalau ada halangan yang menghalang pergerakan rantaian sektor kerana sebab PKP tolong maklumkan untuk kita tengok di mana halangan itu boleh diselesaikan," tegasnya.