Terengganu Ajak Rakyat Hayati Kebesaran Hari Arafah

KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Kerajaan negeri komited mengajak rakyat menghayati kebesaran Hari Arafah dengan terus menganjurkan Program Malam Lambaian Arafah yang diadakan setiap tahun menjelang hari yang penuh makna bagi umat Islam di seluruh dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Hari Arafah bukan sahaja penting bagi jemaah haji, malah ia merupakan hari istimewa bagi seluruh umat Islam untuk berdoa dengan penuh keyakinan serta merebut peluang meraih keampunan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Menurutnya, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak ada satu hari pun yang lebih banyak hamba dibebaskan daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah."

“Begitulah agungnya Hari Arafah, menjadi lambang kasih sayang Allah SWT yang tidak bertepi. Rasulullah SAW juga bersabda bahawa sebaik-baik doa adalah doa yang dipanjatkan pada hari yang penuh keberkatan ini.

“Allah SWT membuka pintu langit seluas-luasnya, memberi peluang kepada hamba-Nya untuk meluahkan segala isi hati, memohon kebaikan di dunia dan akhirat, serta merayu keampunan atas segala dosa yang lalu,” ujarnya.

Dalam kesempatan itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua jawatankuasa pelaksana program, khususnya pihak Masjid Jamek Pengadang Baru dan semua agensi kerajaan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program pada malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Malam Lambaian Arafah Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Masjid Jamek Pengadang Baru, di sini semalam.

Majlis yang dibanjiri kehadiran rakyat Terengganu itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat.

Dalam pada itu, Khalil berharap agar program yang diadakan semalam akan merealisasikan hasrat kerajaan negeri supaya kehidupan indahnya hidup bersyariat di kalangan rakyat Terengganu dapat dinikmati serta kian subur dan menebal.

"Sekali gus kehidupan bersyariat ini akan menjadi normalisasi dalam kehidupan rakyat negeri Terengganu Darul Iman sehingga terbitnya daripada sanubari kita betapa indahnya hidup bersyariat.

"Saya mengharapkan Program Perasmian Majlis Malam Lambaian Arafah Peringkat Negeri Terengganu pada tahun ini memberikan 1001 makna kepada kita semua sejajar dengan dasar kerajaan yang memasakkan agenda dakwah di tangga tertinggi membabitkan seluruh pelusuk bumi Darul Iman," ujar beliau.