KUALA TERENGGANU, 16 November - kerajaan negeri akan melaksanakan Semarah Dakwah Komuniti bagi menekankan pentingnya dakwah dalam kehidupan masyarakat, di seluruh Terengganu.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri berkata, program dakwah yang akan dilaksanakan itu merangkumi pelbagai program keagamaan seperti sambutan hari kebesaran Islam, 'streeat dakwah' serta pembudayaan amalan membaca dan menghayati al-Quran dalam kalangan masyarakat.
"Di samping itu, Program Pemerkasaan Daie Terengganu akan turut diberikan penekanan bagi menggilap kemahiran para pendakwah di negeri ini agar penyampaian menjadi lebih kreatif, moden dan berimpak tinggi,"ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri amat peka akan pentingnya akses pendidikan yang inklusif dalam melahirkan generasi yang berkualiti.
"Sehubungan itu, Program Kecemerlangan Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) Pelajar Sekolah dan Program Latihan Kemahiran Pondok akan terus dilaksanakan bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang bermanafaat pada masa hadapan.
"Selain itu , kerajaan negeri akan turut memperkasakan Pusat Pengajian Islam OKU dalam menyediakan kemudahan pembelajaran Islam dan al-Quran bagi golongan kurang upaya secara menyeluruh dan bersesuaian dengan keperluan mereka,"ujar beliau.