• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Terengganu Bakal Perkenal Permit Khas Selam Skuba di Lokasi Kapal Karam

MARANG, 24 Oktober - Kerajaan negeri akan mewujudkan  prosedur operasi standard (SOP) termasuk pengenalan permit khas bagi aktiviti selaman skuba di lokasi kapal karam di Pulau Kapas yang akan dikuatkuasakan mulai tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata, pengenalan SOP ini bukan untuk  menyusahkan pelancong, tetapi bagi menjaga kepentingan artifak dalam laut di Terengganu.

"Kita nak buat permit bagi memastikan artifak dan tinggalan di kapal tersebut dijaga rapi dan  menghalang aktifak berharga daripada dicuri.

"SOP dibuat ini sama seperti mana dijalankan di tapak kapal karam 'The Bidong Shipwreck' di Pulau Bidong di mana nak pergi ke kawasan tersebut kena ada permit khas.

"Namun kerajaan tidak mahu terlibat dalam urusan mengenai caj sebaliknya menyerahkan urusan mengenai caj tersebut kepada pihak yang mengendalikan selam skuba," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak kapal karam di perairan Pulau Kapas, di sini, semalam.

Razali berkata kapal karam tersebut merupakan satu khazanah yang cukup berharga dan salah satu aset pelancongan negeri dalam pakej aktiviti selam skuba arkeologi.

"Berdasarkan cerita daripada penduduk tempatan, kapal yang dipercayai milik tentera Jepun diserang dan dibom menyebabkan ia terbakar dan karam pada Perang Dunia Kedua... kini berada pada kedalaman 40 meter di dasar laut.

"Malah sebahagian artifak berharga di dalam kapal karam terbabit sudah hilang dipercayai dicuri sejak puluhan tahun lalu tanpa sebarang tindakan dari mana-mana pihak,"katanya.

Justeru itu, beliau berhasrat membawa keluar sebahagian aktifak dari kapal karam itu yang mempunyai nilai  tinggi dan perlu dijaga sebaik mungkin di Galeri Arkeologi Maritim Terengganu yang bakal dibuka tahun hadapan bagi menjamin kelestariannya.

Tambahnya, lokasi cadangan galeri setakat ini di Taman Tamadun Islam (TTI) kerana kedudukannya strategik dan ia juga antara lokasi pelancongan utama di negeri ini.