Terengganu Bakal Perkenal Wangian Berasaskan Pokok Gelam, Cucur Atap
SETIU, 16 Februari – Terengganu berpotensi untuk memiliki produk wangian tersendiri, dihasilkan daripada pokok gelam dan cucur atap yang banyak terdapat di kawasan Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berpendapat bahawa usaha tersebut dijangka mampu mewujudkan identiti negeri, sekali gus membuka peluang baharu dalam industri pelancongan dan produk wangian tempatan.
Katanya, pihaknya sedang meneliti inisiatif tersebut melalui kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk agensi penyelidikan, usahawan tempatan dan kerajaan negeri.
“Kawasan Setiu Wetlands ini kaya dengan pokok gelam dan cucur atap, yang berpotensi menghasilkan pati minyak berkualiti tinggi.
“Jika dikomersialkan, wangian ini boleh menjadi identiti Terengganu seperti mana Bali, Thailand dan Mekah yang memiliki aroma tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam satu sidang media selepas merasmikan majlis perasmian program sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 peringkat negeri Terengganu di Jeti Gong Batu, Setiu, semalam.
Menurut beliau, beberapa langkah awal telah diambil termasuk kajian oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang sebelum ini telah berjaya mengeluarkan produk kesihatan dan bau-bauan berasaskan sumber semula jadi.
“Kita boleh mulakan projek ini secara percubaan dengan menggunakan wangian tersebut di lapangan terbang, pejabat kerajaan dan lokasi pelancongan utama di Terengganu.
“Jika kita mendapat penerimaan baik daripada masyarakat tempatan, kita boleh kembangkan ke pasaran lebih luas," katanya.
Razali turut menggesa pihak Taman Negeri untuk mengenal pasti pengusaha yang berminat bagi menjayakan inisiatif berkenaan demi manfaat ekonomi negeri.
“Jika kita berjaya mewujudkan satu ‘perfume’ khas yang melambangkan Terengganu, ia bukan sahaja meningkatkan daya tarikan pelancongan tetapi juga memberi peluang perniagaan kepada usahawan tempatan,” jelasnya.
Inisiatif itu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkaya industri pelancongan dengan produk unik dan berkualiti tinggi, sekali gus memperkukuh identiti Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.