Berita :
Terengganu Bangun Industri Hiliran, Kurangkan Bergantung Kepada Petroleum
Terengganu Bangun Industri Hiliran, Kurangkan Bergantung Kepada Petroleum
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
1

KUALA TERENGGANU, 20 April – Terengganu merangka strategi baharu dengan memberi tumpuan kepada pembangunan industri hiliran bagi memperkukuh ekonomi negeri serta mengurangkan kebergantungan kepada hasil petroleum.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, bertitah langkah itu selari dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 yang dilancarkan kerajaan persekutuan.

Menurut baginda, peralihan daripada pengeksport bahan mentah kepada pembangunan produk hiliran penting bagi mewujudkan sumber pendapatan negeri yang lebih stabil, selain membantu merapatkan jurang pembangunan antara daerah.

“Dengan mewujudkan ekosistem industri hiliran, Terengganu akan dapat mengukuhkan rantaian nilai ekonomi negeri melalui penghasilan produk, peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan negeri yang lebih stabil,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, baginda turut menegaskan pembangunan kluster industri hiliran berpotensi menarik pelaburan bernilai tinggi serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi.

Titah baginda, usaha berkenaan juga mampu menjadikan Terengganu sebuah negeri yang lebih mampan dan berdaya saing menjelang 2030, selaras dengan matlamat Transformasi Ekonomi Baharu Terengganu (T-NEXT).

Pada masa sama, baginda turut menyentuh isu ketidakseimbangan pembangunan antara daerah yang masih berlaku, khususnya apabila Kemaman dilihat lebih pesat membangun berbanding kawasan lain.

Menurut baginda, jurang pendapatan isi rumah antara bandar dan luar bandar berpunca daripada keterbatasan aktiviti ekonomi yang mampu menjana pendapatan.

“Perkara ini perlu ditangani dengan baik supaya tidak menimbulkan kesan sosioekonomi yang serius,” titah baginda.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan